KUALA LUMPUR, 5 SEPT – Sekretariat ASEAN perlu bertindak cepat dan pro-aktif dalam menyediakan maklumat terkini mengenai perkembangan terkini di Myanmar, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Menteri Luar itu berkata beliau dan menteri-mentari luar ASEAN hanya menerima laporan mengenai situasi di Myanmar daripada sumber sendiri iaitu melalui pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bukan daripada sekretariat ASEAN.
“Pada 3 September, saya telah menulis surat kepada setiausaha agung ASEAN meminta, antara lain, memaklumkan kepada menteri-menteri luar ASEAN tentang apa sebenarnya berlaku di Myanmar.
“Sekretariat ASEAN mesti bertindak cepat untuk menyampaikan apa yang sebenarnya berlaku di Myanmar…mereka (sekretariat ASEAN) perlu mempunyai pasukan yang bertugas sepenuh masa,” katanya pada sidang media selepas melawat sekolah untuk Kanak-kanak Rohingya, Rabbaniyah Educare, di sini, hari ini.
Pada 1 Februari 2021, tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa, beberapa jam sebelum parlimen baharu bersidang buat kali pertama.
Sejak itu, lebih 2,000 orang terbunuh dalam pemberontakan menentang junta.
Pada Julai lalu, junta telah menjatuhkan hukuman gantung terhadap empat tahanan politik, antaranya dua aktivis prodemokrasi terkemuka.
Minggu lalu pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi telah dikenakan hukuman penjara tambahan tiga tahun lagi atas tuduhan penipuan pilihan raya, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjaranya kepada 20 tahun, termasuk kesalahan rasuah.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata krisis Myanmar kini sedang ditangani melalui mesyuarat dan badan serantau 10 anggota itu tidak sepatutnya hanya menunggu sehingga sidang kemuncak seterusnya pada November untuk membincangkan isu berkenaan.
Beliau menggesa ASEAN bertindak lebih cepat untuk memberikan bantuan kemanusiaan dan mendorong proses damai di Myanmar yang kini di bawah pemerintahan junta. – Bernama