Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Sektor bukan minyak dan gas mencatatkan peningkatan 1 peratus manakala sektor minyak dan gas menurun 9 peratus pada suku pertama (Q1) 2022.
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, menjelaskan, penurunan dalam sektor minyak dan gas telah mengakibatkan pertumbuhan negatif dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam sebanyak 4.2 peratus (rajah) pada suku pertama berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah KDNK Negara Brunei Darussalam pada harga semasa suku pertama 2022 adalah sebanyak $5 bilion berbanding $4.2 bi-lion pada suku pertama 2021. Sektor minyak dan gas yang merangkumi aktiviti perlombongan minyak dan gas dan pembuatan gas asli cecair (LNG) menyumbang sebanyak 51.5 peratus daripada jumlah nilai tambah kasar (GVA).
Sementara itu, sektor bukan minyak dan gas termasuk aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia, telah menyumbang sebanyak 48.5 peratus daripada jumlah KDNK. Penurunan dalam sektor minyak dan gas adalah disebabkan oleh penurunan pengeluaran minyak mentah daripada 114.9 ribu tong sehari pada suku pertama 2021 kepada 101.6 ribu tong sehari pada suku pertama 2022.
Namun demikian, sektor bukan minyak dan gas terus menunjukkan perkembangan yang positif dengan peningkatan aktiviti hiliran berikutan kenaikan pada pengeluaran produk petroleum termasuk Diesel dan RON92 dan juga pengeluaran baharu produk kimia khususnya baja urea.
Subsektor Perdagangan Borong dan Runcit terus menunjukkan pertumbuhan, terutamanya didorong oleh peningkatan pada aktiviti borong termasuk barangan peralatan perubatan, makanan dan minuman. Perkembangan yang positif ini juga adalah didokong oleh peningkatan permintaan domestik, yang sebahagiannya adalah disebabkan oleh kelonggaran sekatan domestik dan sempadan.
Subsektor Pengangkutan juga meningkat terutamanya disumbangkan oleh peningkatan pada aktiviti pengangkutan air dan udara. Peningkatan aktiviti pengangkutan udara adalah selaras dengan peningkatan jumlah ketibaan dan pelepasan penumpang udara berikutan keluar masuk dari negara ini telah dibenarkan.
Pengurangan langkah-langkah pencegahan wabak COVID dan kelonggaran sekatan sempadan telah menyebabkan peningkatan aktiviti perjalanan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan sektor perhotelan. Turut menunjukkan prestasi menggalakkan pada suku pertama 2022 ialah sektor pertanian, perhutanan dan perikanan yang meningkat 0.8 peratus.
Mengikut pendekatan perbelanjaan, penurunan pertumbuhan KDNK pada suku pertama tahun ini didorong oleh penurunan eksport bersih sebanyak 28 peratus tahun ke tahun. Ini diikuti oleh penurunan perbelanjaan kapital khususnya pelaburan swasta bagi jentera dan peralatan.
Walau bagaimanapun, penurunan ini diimbangi oleh peningkatan perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan dan perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah masing-masing sebanyak 3.8 peratus dan 5.5 peratus.