Sektor bukan minyak, gas catat pertumbuhan positif

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT–Negara Brunei Darussalam mencatatkan penurunan 2.1 peratus dalam suku kedua hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun-ke-tahun.

Ini adalah disebabkan oleh penurunan dalam sektor minyak dan gas sebanyak 4.7 peratus.

Namun, sektor bukan minyak dan gas pula mencatatkan peningkatan sebanyak 0.9 peratus.

Demikian telah dikongsikan dalam Siaran Media Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengenai KDNK Suku Tahunan Suku Kedua 2021 Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan, jumlah KDNK Negara Brunei Darussalam pada harga semasa adalah sebanyak $4.7 bilion berbanding $4 bilion pada suku kedua 2020.

Rajah menunjukkan perkembangan KDNK bagi Negara Brunei Darussalam bagi suku pertama 2020 hingga suku kedua 2021.- Rajah serahan JPES

Sektor Minyak dan Gas yang merangkumi aktiviti perlombongan minyak dan gas dan pembuatan gas asli cecair (LNG) menyumbang sebanyak 50.6 peratus daripada jumlah nilai tambah kasar (GVA).

Sementara itu, sektor bukan minyak dan gas, yang mana termasuk aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia, telah menyumbang sebanyak 49.4 peratus.

Penurunan dalam sektor minyak dan gas adalah disebabkan oleh penurunan pengeluaran minyak mentah daripada 118.3 ribu tong sehari pada suku kedua 2020 kepada 111.1 ribu tong sehari pada suku kedua 2021.

Pengeluaran gas asli juga menurun daripada 34.3 juta meter padu sehari pada suku kedua2020 kepada 31.5 juta meter padu sehari pada suku kedua 2021.

Selain itu, pengeluaran LNG juga mencatatkan penurunan daripada 910,974 MMBtu sehari kepada 852,689 MMBtu sehari pada tempoh masa yang sama.

Penurunan pada pengeluaran minyak mentah dan gas asli adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan.

Sementara itu, penurunan pengeluaran LNG pula adalah disebabkan oleh bekalan gas yang terhad dan aktiviti penyelenggaraan pada salah satu kemudahan loji LNG.

Manakala, peningkatan dalam sektor bukan minyak dan gas adalah terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit selaras dengan peningkatan permintaan domestik berikutan sekatan perjalanan keluar negara yang masih dikuatkuasakan bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 dan juga sambutan perayaan Aidilfitri pada pertengahan bulan Mei 2021.

Peningkatan subsektor ini adalah juga selaras dengan peningkatan jualan runcit yang didorong oleh jualan di gedung serbaneka, tekstil, pakaian dan kasut.

Ini diikuti dengan peningkatan subsektor elektrik dan air yang terutamanya disebabkan oleh kenaikan pengeluaran elektrik selaras dengan peningkatan penggunaan komersial, awam dan industri.

Prestasi subsektor restoran juga menggalakkan pada suku kedua 2021 selaras dengan peningkatan permintaan domestik berikutan sekatan perjalanan keluar negara yang masih dikuatkuasakan.

Subsektor perkhidmatan kesihatan juga meningkat berikutan peningkatan dalam aktiviti perkhidmatan kesihatan bagi sektor kerajaan dan sektor swasta.

Selain itu, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga mencatatkan kenaikan sebanyak 12.9 peratus pada suku kedua 2021 berikutan peningkatan dalam pengeluaran subsektor-subsektor perikanan, ternakan dan perhutanan.

Peningkatan aktiviti-aktiviti perikanan adalah disebabkan oleh industri penangkapan ikan dan akuakultur.

Hasil keluaran tangkapan nelayan kecil-kecilan adalah penyumbang terbesar kepada peningkatan industri penangkapan ikan.

Manakala, penyumbang utama bagi peningkatan industri akuakultur adalah daripada peningkatan keluaran ternakan udang.

Sementara itu, peningkatan dalam aktiviti ternakan adalah disebabkan oleh peningkatan pengeluaran daging kerbau, daging kambing, ayam pedaging dan telur.

Peningkatan pada pengeluaran kayu balak adalah penyumbang utama kepada pertumbuhan subsektor perhutanan.

Mengikut pendekatan perbelanjaan, penurunan KDNK adalah terutamanya disebabkan penurunan permintaan luar iaitu eksport barangan dan perkhidmatan sebanyak 10.9 peratus tahun-ke-tahun.

Walau bagaimanapun, penurunan ini diimbangi oleh peningkatan pada permintaan dalam negeri seperti perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan sebanyak 2.6 peratus, perbelanjaan kapital (khususnya pelaburan swasta) sebanyak 12.7 peratus dan perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah sebanyak 13.9 peratus.

Anggaran KDNK bagi suku pertama 2021 juga telah disemak kepada penurunan sebanyak 0.8 peratus pada harga tetap daripada penurunan sebanyak 1.4 peratus yang dikeluarkan sebelum ini setelah mengambilkira pengemaskinian data daripada agensi-agensi pembekal data.

KDNK adalah ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran.

Laporan penuh KDNK Suku Kedua 2021 boleh didapati melalui laman sesawang JPES www.deps.gov.bn