Sektor industri, runcit China meningkat

BEIJING, 16 DIS – China menyaksikan peningkatan lebih baik dalam sektor utama runcit dan industri dalam November, menurut data yang dikeluarkan hari ini, memberikan rangsangan yang lebih lanjut bagi Beijing setelah akhirnya mencapai satu perjanjian perdagangan mini dengan Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.

Penyataan data tersebut dikeluarkan pada penghujung tahun yang sukar bagi ekonomi kedua terbesar di dunia ini, berkembang pada kadar yang paling lemah selama tiga dekad kerana perang perdagangan yang lama dengan AS serta kelembapan permintaan global terhadap barangannya.

Pengeluaran perindustrian meningkat kepada 6.2 peratus setahun pada bulan lepas, meningkat daripada 4.7 peratus pada bulan Oktober dan merupakan penyataan terbaik dalam masa enam bulan kebelakangan.

Terdapat juga beberapa berita positif bagi kedai-kedai di negara tersebut, dengan jualan runcit meningkat sebanyak 8 peratus, berbanding dengan bulan sebelumnya pada 7.2 peratus.

Angka tersebut melangkaui jangkaan, dengan tinjauan para penganalisis Bloomberg, meramalkan pertumbuhan pengeluaran perindustrian sebanyak 5 peratus dan 7.6 peratus dalam jualan runcit.

Jurucakap Biro Perangkaan Nasional, Fu Linghui, berkata petunjuk ekonomi utama menunjukkan prestasi lebih baik daripada yang dijangkakan terutama berhadapan risiko dan cabaran yang meningkat dari dalam dan luar negara.”

Tetapi dia memberikan amaran bahawa masih ada ‘tekanan menurun’ terhadap ekonomi China kerana ‘ketidakstabilan luaran yang semakin meningkat dan ketidakpastian’.

Pelaburan dalam modal tetap meningkat 5.2 peratus, sama seperti pada bulan Oktober sesuai dengan jangkaan. – AFP