Sektor insurans Malaysia dijangka kekal berdaya tahan

KUALA LUMPUR, 14 APRIL – RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) mengekalkan unjuran stabil terhadap sektor insurans Malaysia bagi 2020, sempena ulasannya, Insight Insurance, yang dikeluarkan.

Agensi penarafan kredit itu menerusi kenyataan berkata sektor tersebut tersebut dijangka kekal berdaya tahan walaupun wujud kesan ekonomi yang ketara akibat pandemik COVID-19.

Pemodalan kukuh yang dimiliki peserta sektor insu-rans dijangka dapat mengurangkan secukupnya kesan turun naik pasaran kewangan yang memuncak serta caj modal lebih tinggi dalam situasi kadar faedah rendah dan peningkatan tekanan kredit, menurutnya.

“Bagaimanapun, kami juga berhati-hati memandangkan risiko penurunan masih wujud kerana tahap ketidaktentuan yang tinggi susulan momentum penyebaran wabak COVID-19 dan peningkatan kes yang berlaku di peringkat global.

“Unjuran kami terhadap industri mungkin disemak semula jika tahap impak ekonomi mengatasi jangkaan semasa kami,” menurut RAM Ratings.

Pada akhir Disember 2019, nisbah kecukupan modal (CAR) awal sektor insurans hayat dan takaful keluarga kekal kukuh pada 207 peratus – bersamaan dengan 1.6 kali keperluan minimum.

Begitu juga bagi sektor insurans am dan takaful am yang mencatatkan CAR yang kukuh iaitu 283 peratus.

Sebagai sebahagian pakej rangsangan ekonomi oleh kerajaan untuk mengurangkan kesan akibat krisis pandemik ini, pemegang polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga mempunyai pilihan untuk menangguhkan pembayaran premium selama tiga bulan tanpa menjejaskan perlindungan mereka. – Bernama