TUNIS – Keadaan hospital yang sesak dan ramai, para kakitangan yang keletihan, dan para pasakit bersungut… sektor kesihatan awam di Tunisia kini bergelut untuk menyembuhkan kebanyakan pesakitnya.
Jam menunggu rawatan yang lama, pesakit yang berang dan peralatan yang rosak telah menjadi masalah kronik di sana.
“Hospital kami kini hancur,” kata Amel Belhaj semasa melawat bapa beliau yang terlantar di wad hospital Tunis dengan keadaan dindingnya yang kotor dan radiator yang sudah berkarat.
“Selain penyakit, kami terpaksa berhadapan dengan kesengsaraan tempat ini yang kotor dan melayan tingkah laku para kakitangannya,” katanya.
Tandas yang berada berdekatan adalah sangat tidak menyenangkan apabila bau kuat daripada air kencing dan sampah-sampah dibiarkan bertaburan di atas lantai tandas tersebut. Bapa beliau, yang berada di salah satu katil di wad 11, enggan untuk mengulasnya. Pembangunan sektor kesihatan telah menjadi keutamaan bagi kerajaan Tunisia sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1956.
Kini, negara yang berada di Afrika Utara itu yang mempunyai 11 juta penduduk telah menyediakan beberapa 166 buah hospital dan 2,100 pusat-pusat kesihatan, menurut perangkaan rasmi. Tetapi perkhidmatan kesihatan awam telah merosot sejak tahun 1990an dan gagal untuk memenuhi permintaan yang moden, menurut satu laporan pada tahun lepas oleh seksyen kesihatan kesatuan UGTT.
“Jika terdapat satu perkhidmatan awam yang memerlukan pembaharuan segera, ia adalah sektor kesihatan,” katanya sambil merungut tentang ‘ketidaksamaan sosial’ dalam rawatan.
Sektor ini mengalami rasuah, ketidaksamaan wilayah dalam akses kepada peralatan canggih dan penjagaan perubatan – seluruh rantau wilayah itu mengalami kekurangan penjagaan kesihatan yang profesional.
Kajian UGTT berkata Tunisia berisiko dalam pengkajian semula terhadap kemajuan yang telag dibuat sejak kemerdekaannya dari Perancis pada tahun 1956.
“Terdapat perkhidmatan yang kami bangga dengannya, dan ada juga yang memerlukan perhatian yang khusus,” kata Kaouther Hedhili, seorang pegawai kanan di Kementerian Kesihatan, yang mengakui keadaan semasa terhadap sektor itu yang kini adalah sebuah ‘kegagalan utama’.
Beliau berkata perkhidmatan awam Tunisia telah dibanjiri dengan kakitangan berikutan pengambilan besar-besaran dalam pekerjaan kasar dan pentadbiran selepas revolusi 2011. Namun hospital-hospital mempunyai kurang kakitangan yang berkelayakan – di seluruh negara, sektor ini kekurangan pada hampir 14,000 kakitangan.
Hospital juga dibebani dengan sekitar AS$207 juta (185 juta euro) hutang, katanya. Tetapi pegawai kanan kesihatan, Nabiha Borsali Falfoul berkata kritikan orang awam terhadap sektor ini sering dibesar-besarkan.
“Hospital-hospital adalah suatu permintaan yang sangat besar,” katanya. “Para kakitangan bekerja di luar kemampuan mereka.”
Pihak berkuasa juga menyatakan bahawa jangka hayat di Tunisia secara umumnya telah meningkat dari 66 kepada 73 dalam tempoh hanya satu dekad. Ianya menunjukkan bahawa perkhidmatan kesihatan berada di landasan yang betul. Salah seorang pegawai dari salah sebuah hospital mengadu bahawa pengendali pusat kesihatan persendirian telah ‘memburuk-burukkan’ lagi sektor awam.
Klinik persendirian telah tumbuh seperti cendawan untuk memberi khidmat kepada pelanggan-pelanggan kaya dan juga kemasukan pesakit-pesakit daripada Libya. Namun oleh kerana kosnya, kebanyakan warga Tunisia tidak mampu untuk membayarnya, dan terpaksa bergantung kepada perkhidmatan kesihatan awam.
Chokri Hamouda, ketua jabatan kecemasan di Hospital Charles-Nicolle di Tunis, berkata satu penyelesaian segera amat diperlukan untuk menangani masalah kekurangan kakitangan perubatan yang berkelayakan.
Ia adalah penting “untuk menyesuaikan diri terhadap keperluan rakyatnya,” katanya.
“Anda tidak boleh meletakkan harga pada kesihatan yang baik, tetapi untuk memastikannya ia perlu mempunyai kos.” – AFP