Sektor koperasi ASEAN diperkasa

KUALA NERUS, 18 JUN – Sebanyak 100 produk koperasi terbaik dari 10 negara ASEAN akan mula dipasarkan kepada 640 juta penduduk ASEAN awal tahun depan, kata Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah (gambar bawah).

Beliau berkata kerjasama perdagangan untuk memasarkan produk dan perkhidmatan koperasi dalam kalangan negara-negara ASEAN itu adalah antara usaha ACO untuk terus memperkasakan sektor koperasi agar matlamatnya menembusi pasaran global pada 2025 tercapai.

“Setiap negara perlu memilih 10 produk terbaik dari koperasi negara mereka yang memenuhi semua kriteria ditetapkan seperti jaminan keselamatan makanan dan status halal.

“Seterusnya, semua 100 produk dari 10 negara ASEAN ini akan dipamerkan di setiap ibu pejabat badan koperasi yang mewakili gerakan koperasi di negara masing-masing yang dikenali sebagai ASEAN Corner,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Terengganu di Wisma Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu Berhad (Kokitab) di sini hari ini. Ketika ini, tiga negara iaitu Malaysia, Thailand dan Vietnam sudah mempunyai ASEAN Corner masing-masing manakala tujuh negara lain masih dalam proses mengenal pasti 10 produk koperasi terbaik mereka untuk tujuan itu.

Katanya bagi produk koperasi Malaysia, kriteria yang diperlukan ialah produk itu mesti mempunyai pensijilan International Standard Organisation (ISO) daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd, perakuan halal dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP). – Bernama