Sektor penternakan bantu tambah pendapatan

TANJUNG MALIM – Sektor penternakan yang menjanjikan pulangan lumayan kepada pengusahanya berjaya menarik minat sebilangan peneroka Felda Besout, dekat sini menternak arnab pedaging bagi menambah pendapatan.

Bermula dengan hanya 16 ekor arnab, pusat penternakan Koperasi Felda Besout 5 dekat sini berjaya membiak sehingga 400 ekor arnab jenis New Zealand White sejak mula diternak Disember lepas.

Projek yang dijayakan 102 peneroka itu juga diharap dapat menjadikan pusat penternakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim itu sebagai antara pengeluar arnab pedaging utama negara serta menjadi lokasi agro pelancongan.

Pengurus Felda Besout 5, Amiruddin Abu Kassim berkata melalui kegiatan ekonomi baharu itu, peneroka Felda yang selama ini bergantung harap kepada hasil ladang kelapa sawit, dijangka meraih pendapatan sampingan tahunan sehingga RM5,000 dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Penternakan arnab pedaging dipilih berikutan ia mendapat permintaan pasaran yang tinggi, namun bekalan tidak mencukupi. Selain tidak memerlukan modal yang besar, menternak arnab pedaging ini lebih mudah kerana pada usia sebulan sudah boleh dijual dagingnya,” katanya ketika ditemui media.

Anuar Hussin menunjukkan dedak Bokashi buatannya ketika sesi temu bual khas berkenaan sektor penternakan yang memberi peluang kepada penduduk di sekitar kawasan Slim untuk menambah pendapatan. – Bernama
Koperasi Felda Besout 5 berjaya membiak sehingga 400 ekor arnab jenis New Zealand White sejak mula diternak Disember lepas. – Agensi

Menurutnya, arnab pedaging itu juga boleh melahirkan anak kira-kira tujuh hingga lapan kali setahun dengan bilangan enam hingga 12 ekor anak pada satu-satu masa. Amiruddin berkata harga pasaran untuk daging arnab tersebut boleh mencecah sehingga RM38 sekilogram (kg) dan pusat berkenaan mampu membekalkan hampir 200kg setiap kali jualan kepada Persatuan Penternak Arnab Malaysia (MARBA).

Bidang penternakan turut menjadi pilihan seorang penduduk di Kampung Klan Halt, Slim River, Anuar Hussin, 42, yang berhenti kerja sebagai jurujual bagi mengusahakan ladang penternakan ayam kampung untuk pasaran dalam dan luar Perak sejak tahun 2015.

Beliau yang dibantu isterinya, Normadiah Shamsudin, 36, kini mengembangkan lagi perniagaan itu dengan menghasilkan dedak Bokashi menggunakan hampas soya.

“Kita mengalami masalah terputus bekalan dedak kerana jumlah penawaran yang sedikit di kawasan ini sedangkan ayam kampung yang diternak semakin bertambah. Jadi, berdasarkan ilmu pengetahuan yang diperolehi menerusi kursus-kursus yang diikuti dan juga rujukan di internet, saya menghasilkan sendiri dedak ini kira-kira tiga tahun lepas,” katanya.

Menurut Pengarah AHB Farm Enterprise itu, selain mengurangkan kos bahan makanan ternakannya, beliau berjaya memasarkan kira-kira 100kg dedak setiap minggu hasil promosi di media sosial.

Sementara itu, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Slim River Wira Ismail berkata pihaknya dalam proses membantu Anuar menyediakan mesin penghasilan dedak bagi menambah pengeluaran produk itu.

Beliau berkata PPK Slim River memberi bantuan kepada 45 ahlinya yang mengusahakan ladang penternakan dan tanaman persendirian bagi mengembangkan lagi perniagaan termasuk memasarkan hasil mereka di Pusat Jualan Terus Hasil Peladang pada setiap Khamis bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari di pekan Slim.

“PPK berperanan membantu ahli peladang meningkatkan taraf ekonomi dan sosial, menambah pengetahuan dan kemahiran, meninggikan hasil dan pendapatan, membaiki cara hidup serta mewujudkan masyarakat tani progresif, berdikari dan bersatu padu,” katanya. Kebanyakan penduduk DUN Slim terlibat aktiviti perladangan kelapa sawit khususnya di lima Felda.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak Datuk Abdul Yunus Jamahri pula berkata golongan belia yang ingin menceburi bidang pertanian boleh memohon tanah kerajaan atau tanah terbiar untuk dimajukan.

“Pihak Jabatan Pertanian Negeri Perak juga sangat menyambut baik pihak-pihak yang ingin melaksanakan projek pertanian dan hal ini tentu sekali dapat memeriahkan industri pertanian negeri Perak, seterusnya meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negeri,” katanya. – Bernama