Sektor pertanian, perikanan bantu Tawau

TAWAU, 13 Jun – Sektor pertanian dan perikanan bakal dijadikan sebagai pemangkin pembangunan daerah Tawau yang dilihat sebagai ‘bandar tidur’, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurutnya, dalam sektor pertanian pula, tumpuan akan diberikan untuk membangunkan tanaman buah-buahan manakala tumpuan sektor per-ikanan pula untuk dijadikan daerah tersebut sebagai Hab Makanan Laut.

“Wakil rakyat di kawasan Tawau juga saya minta untuk bekerjasama bagi membangunkan Tawau kerana kini masanya untuk mentadbir negeri ini dan berbakti kepada rakyat,” katanya pada Majlis Kesyukuran dan Berbuka Puasa peringkat Parlimen Tawau, Kalabakan, Silam dan Semporna di sini hari ini.

Hadir sama, Anggota Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman, selaku pengerusi penganjur majlis itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus Sipil.

Pada majlis itu, Mohd Shafie bersama isteri Datin Seri Shuryani Shuaib turut menyampaikan bantuan zakat Sabah kepada golongan asnaf, fakir miskin dan anak yatim. – Bernama

Datuk Seri Shafie Apdal (kiri) bersalaman dengan tetamu sewaktu hadir pada Majlis Kesyukuran dan Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Semporna, Silam, Tawau dan Kalabakan di Masjid Al-Kauthar Tawau, kelmarin – Bernama