Sektor swasta dapat sambutan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Lebih ramai pekerja tempatan telah memasuki pasaran kerja di sektor swasta dengan peningkatan sebanyak 2.2 peratus dari 53,336 orang pada tahun 2016 kepada 54,489 orang pada 2017.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dalam Banci Tahunan Perusahaan/Perniagaan (BTP) 2017 yang bermula bulan Disember 2017, secara keseluruhan jumlah pekerja sektor swasta telah menurun sebanyak 0.6 peratus dari 115,985 orang (2016) kepada 115,329 (2017).

Perdagangan borong dan runcit adalah majikan terbesar melibatkan 25,533 pekerja (22.1 peratus) diikuti sektor pembinaan (20,979 pekerja atau 18.2 peratus), perkhidmatan profesional, teknikal, pentadbiran dan bantuan (14,533 pekerja atau 12.6 peratus) dan lain-lain.

Tiga kegiatan ekonomi terbesar ialah perdagangan borong dan runcit dengan 2,081 perusahaan (34.4 peratus), diikuti pembinaan dengan 764 perusahaan (12.6 peratus) dan penginapan serta perkhidmatan makanan dengan 668 perusahaan (11.0 peratus).

Dalam laporan itu juga, BTP 2017 menyatakan bahawa jumlah pendapatan daripada aktiviti perniagaan telah mencatatkan peningkatan sebanyak 9.0 peratus dari $21.3 bilion pada tahun 2016 kepada $23.2 bilion pada tahun 2017.

Pendapatan terbesar disumbangkan oleh aktiviti perlombongan dan kuari bernilai $7,464.7 juta (32.2 peratus), diikuti aktiviti pembuatan sebanyak $4,874.4 juta (21.0 peratus) dan aktiviti perdagangan borong dan runcit sebanyak $4,283.9 juta (18.5 peratus).

Laporan penemuan ringkas BTP 2017 menyatakan 2,442 buah perusahaan bersaiz mikro, iaitu yang mempunyai kurang daripada lima orang pekerja; 2,490 buah perusahaan kecil yang mempunyai antara lima hingga 19 orang pekerja; 944 buah perusahaan sederhana dengan 20 hingga 99 orang pekerja dan 171 buah perusahaan selebihnya adalah bersaiz besar dengan 100 orang atau lebih pekerja.

Objektif utama BTP 2017 adalah untuk mengumpul maklumat terkini mengenai pertumbuhan, sumbangan, komposisi dan taburan kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh syarikat perusahaan atau perniagaan di negara ini.

JPKE telah mengeluarkan Laporan Penemuan Ringkas BTP 2017 yang memuatkan data mengenai profil dan prestasi perusahaan atau perniagaan di sektor swasta pada tahun 2016 dan 2017.

Data bagi tahun 2015 yang sebelum ini dikeluarkan melalui Laporan Awal Banci Ekonomi Perusahaan/Perniagaan (BEP) 2016 adalah juga dikemaskinikan.