Sektor swasta digalakkan laksana ART

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Apabila sudah memasuki fasa peralihan nanti, saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (ART) bukan saja dilaksanakan untuk kakitangan kerajaan saja malah sektor swasta digalakkan membuat ujian ART untuk kakitangan bagi mengawal penularan di tempat kerja dan memastikan adanya pelan kelangsungan perniagaan (BCP) tertentu.

Pihak swasta digalakkan untuk mengikuti apa yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk membuat ujian ART kepada kakitangannya setiap dua minggu.

Perkara itu ditekankan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab pertanyaan sama ada pihak swasta juga perlu membuat ujian ART seperti dilaksanakan kerajaan.

Yang Berhormat Dato pada sidang di Kementerian Kesihatan, hari ini, seterusnya menambah bahawa perlaksanaan ujian ART itu perlu dibuat pada peringkat permulaan fasa peralihan nanti seterusnya ke fasa bandar endemik.

Menjawab soalan mengenai bila ujian ART wajib untuk sektor swasta bermula, beliau berkata, ia dirancang pada fasa peralihan nanti di mana ini adalah untuk mengawal penularannya sebelum memasuki fasa bandar endemik.

Kit ART akan memainkan peranan penting pada fasa peralihan dalam jentera kerajaan, manakala sektor swasta turut diseru bekerjasama menggunakannya untuk mengawal penularan COVID-19. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Kita tidak mahu bila endemik nanti, penularan melonjak naik semula dan kita tidak mahu melangkah balik ke belakang,” tegasnya.

Dalam usaha mengawal penularan wabak ini, adalah perlu untuk berganding bahu di mana pihak kerajaan akan mengawal apa yang patut manakala pihak swasta juga perlu memainkan peranan penting dalam sama-sama mengawal penularan ini, apabila fasa peralihan nanti bermula, tambah beliau.

Mengulas soalan mengenai garis panduan perlaksanaannya seperti adakah perlu menyimpan keputusan ART sebagai bukti terutama apabila didapati positif, beliau seterusnya menjelaskan, pihak agensi kerajaan akan menyenaraikan pekerja mereka dan tarikh ujian ART akan dibuat dan pelaksanaannya juga perlu dibuat oleh pihak swasta terutama semasa fasa endemik.

“Selain itu, pihak agensi berkenaan akan membuat pengawalan secara berkala (rambang) untuk memastikan ujian ART dibuat terutama untuk pekerja restoran dan lainnya dan yang lebih penting, sekolah-sekolah juga akan mengikut jadual yang di tetapkan dan di sana agensi berkenaan akan melaksanakan pemantauan,” jelas beliau.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pula memberi respons kepada pertanyaan mengenai inisiatif kerajaan dalam memastikan pihak swasta mendapatkan bekalan ART untuk kakitangan mereka.

Beliau menjelaskan, pada masa ini pihak swasta akan membeli kit ART sendiri dan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) telah membuat kaji selidik mengenai harga ART yang dijual di pasaran negara ini.

“Kaji selidik ini adalah untuk memastikan harga bagi ART tidak dinaikkan semasa fasa peralihan nanti selain mengelakkan daripada berlakunya peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ART semasa fasa berkenaan,” tegas beliau.