Sektor swasta digesa terlibat projek lapangan terbang

LANGKAWI, 11 Okt – Kerajaan sedang merundingkan semula perjanjian operasi dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi melibatkan penyertaan sektor swasta dalam projek perluasan lapangan terbang di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata penglibatan sektor swasta mampu menyediakan penyelesaian bagi isu mendapatkan dana projek perluasan lapangan terbang tanpa memberi beban tambahan kepada kerajaan.

“Kami sedang melihat model baharu untuk memperluas lapangan terbang kerana mengikut perjanjian lapangan terbang semasa, perluasan lapangan terbang merupakan perbelanjaan pembangunan bagi kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Lapangan Terbang Kecil dan Berkembang Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) Asia-Pasifik 2018 di sini hari ini.

Bagi memastikan kerjasama itu berjaya, beliau berkata kerajaan perlu memastikan penggiat sektor swasta akan mendapat pulangan positif daripada pelaburan mereka, dan tabung negara tidak terjejas.

“Kami berharap ia akan mewujudkan situasi sama-sama menang. Menang untuk kerajaan dari segi mengurangkan beban menanggung perbelanjaan pembangunan dan menang untuk sektor swasta pula dalam bentuk pulangan yang positif,” katanya. – Bernama