Sektor tenaga kekal berdaya tahan di sebalik pandemik

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kem. Tenaga

BANDAR SERI BEGAWAN – Penularan wabak COVID-19 telah merubah landskap tenaga global secara drastik yang menjejaskan pelbagai pasaran dan ekonomi.

Sejak pengisytiharan COVID-19 sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan-kerajaan di seluruh dunia telah membuat tindakan balas sokongan kecemasan untuk melindungi industri mereka.

Penularan itu telah menjana keperluan bagi negara-negara untuk menyesuaikan diri dengan norma masyarakat dan pada masa yang sama, melaksanakan pemulihan ekonomi yang berterusan.

Sejak merekodkan kes pertama jangkitan COVID-19 pada 9 Mac 2020, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengambil langkah-langkah kecemasan untuk melindungi kebajikan rakyat serta penduduk negara ini.

Berikutan dengan pengumuman penularan COVID-19 di mana ia pertama kali muncul di Bandar raya Wuhan, Republik Rakyat China dan kes-kes virus yang dilaporkan di negara-negara jiran, di bawah kepimpinan dan bimbingan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Kementerian Tenaga dengan kerjasama erat bersama operator-operator minyak dan gas serta agensi-agensi relevan telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk memantau kesihatan pekerja-pekerja China dan pelajar yang kembali dari Republik Rakyat China.

Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya (kiri) menyampaikan sumbangan COVID-19 kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman pada 23 April 2020.
Haji Azhar dan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said bergambar ramai dengan kakitangan SHENA semasa penyampaian sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) pada 19 Mei 2020.

Garis pandu dan SOP

Dengan kebimbangan dalam kalangan warga masyarakat mengenai dengan kemungkinan penularan koronavirus dalam industri minyak dan gas memuncak, Kementerian Tenaga mengaktifkan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis pada Januari 2020 untuk menyediakan sokongan asas bagi operator-operator untuk menangani kemungkinan krisis.

Dengan pandemik itu berterusan dan kes-kes mula direkodkan di dalam negara, strategi-strategi mitigasi telah dilaksanakan untuk memastikan kelangsungan perniagaan sektor tenaga.

Pada Mac 2020, Kementerian Tenaga telah mengaktifkan Pelan Kelangsungan Perniagaan (BCP) dengan objektif utama untuk memastikan respons yang efektif dan tepat pada masanya untuk meminimumkan kesan kepada warga, alam sekitar, aset dan reputasi.

Dibangunkan oleh Pasukan Petugas Pengurusan Krisis Kementerian Tenaga, BCP berkenaan mengetengahkan komitmen serata industri dan tindakan diselaraskan untuk mengekalkan kestabilan sektor tenaga negara.

Di samping itu, BCP juga meletakkan penekanan kukuh pada melindungi kesihatan, keselamatan, sekuriti dan alam sekitar (HSSE) serta langkah-langkah kesiapsiagaan kecemasan semasa pandemik. Langkah-langkah keselamatan segera dan protokol tambahan juga dirancang untuk memastikan tenaga kerja sihat yang berterusan bagi operasi di darat dan di laut.

Dalam merealisasikan peranan penting sektor sebagai sektor ekonomi negara paling kritikal, Kementerian Tenaga telah mengeluarkan Garis Panduan Pengasingan Diri dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Pekerja Minyak dan Gas Marin dan Luar Pantai pada 26 Mac 2020.

SOP berkenaan membolehkan operator-operator minyak dan gas untuk mengurus sebarang kemungkinan risiko keselamatan kepada operasi luar pantai mereka.

Dalam mengenal pasti tenaga manusia sebagai komponen utama dalam kelangsungan operasi sektor tenaga, Kementerian Tenaga bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan relevan dan juga operator-operator minyak dan gas untuk mengutamakan kepakaran serta kemahiran kritikal sektor berkenaan.

Selaras dengan permohonan Pas Perjalanan Masuk yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, kemasukan ke Negara Brunei Darussalam bagi tujuan pekerjaan dalam sektor tenaga dihadkan pada pakar-pakar asing dengan fungsi dan peranan kritikal.

Keutamaan bagi pakar-pakar berkenaan membolehkan sektor itu untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan tempatan.

Garis Panduan Pengasingan Diri dan SOP bagi Pekerja Minyak dan Gas Marin dan Luar Pantai telah dilaksanakan secara efektif tanpa kompromi terhadap keselamatan, jadual dan kos. Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), sebagai contoh, telah menguruskan prosedur-prosedur kuarantin yang diperlukan bagi kru asing dalam kapal, mengelakkan impak operasi dan tempoh kapal terbiar.

Kementerian Tenaga juga menyokong BSP dalam menjana gelembung keselamatan bagi petugas barisan hadapan tenaga kritikal dan untuk memastikan operasi selamat serta boleh dipercayai bagi aset-asetnya.

Perubahan sementara putaran syif juga dilaksanakan bagi kakitangan operasi pengeluaran darat dan luar pantai daripada syif dua minggu kepada syif 28 hari (28/28).

Ini bermakna bahawa BSP terus menghasilkan tenaga untuk negara tanpa merangkumi keinginan negara untuk melandaikan lekuk.

Ia mendemonstrasikan kemampuan menyesuaikan diri, ketangkasan dan daya tahan industri tenaga khususnya dalam masa-masa luar biasa ini.

Atur strategi

Dengan pandemik berkenaan meletakkan rantaian bekalan tenaga global di bawah peningkatan tekanan, sektor tenaga Brunei Darussalam menumpukan strateginya dengan mengurangkan kebergantungan pada produk-produk bahan api import serta pada masa yang sama terus menghasilkan produk-produk untuk eksport.

Satu mercu tanda telah dicapai berikutan pengumuman Hengyi Industries Sdn Bhd bagi pembekalan domestik bahan api pengangkutan (gasolin, diesel dan Jet A1) pada 15 Mei 2020.

Ia menandakan ketahanan sektor tenaga semasa pandemik dan mengesahkan cita-cita negara untuk mengembangkan lanjut rantaian nilai minyak dan gas domestik.

Sejak itu, Hengyi Industries terus memberikan produk-produk ditapis kepada Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) untuk memenuhi permintaan domestik bagi produk petroleum.

Sambil mengekalkan operasi tanpa gangguan dan sumbangannya pada ekonomi negara, komuniti sektor tenaga yang diketuai oleh Kementerian Tenaga mengesahkan komitmennya untuk menyediakan sokongan kepada komuniti tempatan semasa pandemik berkenaan.

Pada April 2020, Kementerian Tenaga menyerahkan sumbangan dalam bentuk barangan perlindungan perubatan pen-ting kepada Tabung Bantuan COVID-19.

Kementerian Tenaga juga menghulurkan bantuan kepada petugas-petugas barisan hadapan menerusi badan berkanunnya, Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) yang mendermakan peralatan perlindungan diri (PPE).

Operator-operator minyak dan gas dalam negara juga bergabung untuk membantu komuniti menerusi inisiatif-inisiatif tanggungjawab sosial korporat mereka.

Dalam semangat perpaduan, inisiatif #BSP Cares telah dilancarkan dalam BSP. Satu daripada kejayaan utama inisiatif berkenaan adalah Kempen #100beds untuk Pusat Pengasingan Kebangsaan di Tutong.

Dalam tempoh 24 jam, kakitangan BSP mengumpulkan sumbangan bernilai 110 katil, melepasi sasaran awal iaitu 100 katil, dengan baki dana disumbangkan untuk memperoleh peralatan perubatan bagi Hospital Suri Seri Begawan di Kuala Belait.

Di samping itu, Zhejiang Hengyi Group Company Ltd menerusi Hengyi Industries Sdn Bhd telah mendermakan bekalan dan peralatan perubatan bernilai AS$1 juta untuk membantu kerajaan Negara Brunei Darussalam menangani pandemik COVID-19 di negara ini.