Sekumpulan individu didapati bermain layang-layang

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Berakas, kelmarin, telah menjalankan pemantauan dan operasi mengejut di kawasan Perindustrian Kampung Salambigar dan mendapati sekumpulan individu sedang bermain layang-layang.

Semasa pemantauan pada waktu petang itu, seorang daripada individu tersebut telah pun diambil tindakan kompaun kerana melanggar Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB.

Pemantauan mengejut itu dibuat susulan rakaman video yang tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu dan beberapa buah kenderaan berada di kawasan berkenaan dipercayai sedang berkumpul dan bermain layang-layang.

Justeru, PPDB menegas-kan kepada orang ramai agar sentiasa patuh dan akur dengan arahan pihak kerajaan berhubung langkah-langkah keselamatan terhadap wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

Di samping itu, jika ada didapati sesiapa yang melanggar atau ingkar akan mana-mana arahan yang dikeluarkan maka ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan akan dikenakan denda kompaun sebanyak $100 bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka dan $5,000 bagi kod merah pada aplikasi BruHealth bagi mereka yang mempunyai simptom COVID-19 dan mempunyai kontak dengan orang yang positif virus tersebut.

Jika sabit kesalahan boleh membawa kepada denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Anggota polis semasa membuat pemantauan. – Gambar serahan PPDB