MANILA, 13 MEI – Sekutu kepada Ferdinand Marcos Jr, yang bakal menjadi presiden Filipina seterusnya, dilihat akan mendominasi dewan kongres, sekali gus memberi kebimbangan kepada aktivis bahawa keluarga Marcos Jr akan kembali berkuasa.
Pengiraan undi yang masih berjalan sejak Isnin menunjukkan mereka bakal meraih hampir 300 kerusi dalam Dewan Rakyat dan separuh daripada 24 kerusi Senat yang bakal dipilih.
Ahli keluarga dan adik-beradik Marcos Jr sudah memenangi beberapa jawatan tempatan, mencerminkan pengaruh kuat politik di negara itu meskipun larangan dalam perlembagaan yang tidak pernah dikuatkuasakan.
“Ia akan mencetuskan masalah ke-rana pihak pembangkang sangat diperlukan dalam demokrasi,” kata Jean Franco, seorang profesor sains politik di University of the Philippines.
“Perlu ada idea alternatif dan perlu ada pemantauan terhadap apa yang dilakukan oleh orang yang berkuasa, jika tidak, kita akan sama seperti Korea Utara,” katanya.
Kemenangan dalam pilihan raya buat Marcos Jr dan sekutunya merupakan satu kejayaan besar. Marcos Jr meraih lebih 31 juta undian dalam perkiraan tidak rasmi dalam apa yang diramal sebagai salah satu persaingan paling sengit untuk merebut presiden Filipina dalam masa berdekad-dekad. Sementara itu rakannya, Sarah Duterte, yang bertanding bagi jawatan naib presiden dan juga anak kepada presiden Filipina ketika ini, turut dilihat memenangi undian dengan jurang yang besar.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping antara pemimpin dunia yang mengucapkan tahniah kepada mereka berikutan kemenangan besar dalam pilihan raya. – AP