KUALA LUMPUR – Aktiviti selam skuba lebih sinonim dengan golongan dewasa, namun kini ia mula menjadi antara aktiviti riadah yang semakin popular dalam kalangan remaja yang gemarkan sesuatu yang mencabar dan ekstrem sambil meneroka alam marin.
Pengasas Diverlogy Ventures atau DiverGen Mohd Yusof Mansor, 45, yang merupakan jurulatih Open Water Scuba, Professional Association of Diving Instructors (PADI) berkata kebanyakan ibu bapa hari ini lebih terbuka untuk menjadikan aktiviti selam skuba sebagai alternatif kepada aktiviti riadah lain kerana merasakan ia sesuatu yang menarik dan baharu untuk dipelajari di samping memberi manfaat kepada anak mereka.
“Sejak tujuh, lapan tahun lepas, saya lihat aktiviti ini mula menjadi pilihan dalam kalangan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka mencuba sesuatu yang baharu.
Hari ini selam skuba dalam kalangan remaja bukan lagi sesuatu yang asing dan sambutan kepada aktiviti ini sangat memberangsangkan.
“Kebanyakan ibu bapa yang ada lesen menyelam, mereka juga mahukan anak-anak mereka pandai menyelam kerana bagi mereka selain menikmati keindahan alam marin, aktiviti ini juga dapat meningkatkan kecergasan fizikal dan sistem pernafasan anak-anak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Yusof berkata beliau sendiri turut memberi pendedahan aktiviti selam skuba kepada anaknya Adam Harris, 15, seawal usia lapan tahun dan hari ini anaknya menjadi rakan selam skubanya setiap kali beliau melakukan aktiviti menyelam.
Beliau berkata aktiviti itu dianggap ekstrem kerana memerlukan keberanian yang tinggi untuk meneroka dasar laut dengan hanya berbekalkan udara termampat daripada tangki untuk bernafas, namun ia bukan penghalang bagi mereka yang mempunyai minat untuk mendalami aktiviti tersebut.
“Tidak dinafikan aktiviti ini memang mencabar, namun jika kita belajar cara serta kaedah yang betul dan selamat untuk menyelam, risiko kemalangan dapat dielak, sebab itu untuk membolehkan seseorang itu menyelam di dasar laut, mereka perlu mengambil kursus menyelam.
“Biasanya kita buka kursus selam skuba untuk remaja bermula usia lapan tahun, mereka perlu ada asas berenang sebab bila ada asas ini sudah pasti mereka tidak takut pada air, jadi lebih mudah untuk ikuti kursus yang kita jalankan,” katanya.
Mengenai kos selam skuba yang sering dianggap mahal untuk dijadikan sebagai aktiviti riadah, Mohd Yusof yang telah memulakan operasi DiverGen sejak 2017 di Kompleks Majlis Sukan Negara Setiawangsa berkata untuk permulaan, ia memerlukan kos RM1,400 hingga RM1,500 bagi mendapatkan lesen ‘junior open water’.
“Untuk mendapatkan lesen, bayarannya ‘one-off’ sahaja (sekali bayar) dan biasanya kos ini termasuk pengangkutan bot untuk ke pulau dan penginapan.
“Mereka yang mengambil kursus open water biasanya akan buat teori di kolam renang sebanyak tiga sesi dan kemudiannya akan dibawa ke pulau untuk habiskan lagi empat sesi sebelum menamatkan kursus.
“Selepas mereka mendapat lesen, jika mahu menyelam pada masa-masa akan datang, jika tidak mampu beli peralatan…biasanya mereka boleh sewa di pulau-pulau yang menyediakan perkhidmatan aktiviti selam skuba.
“Tidak semestinya semua peralatan mesti kita beli sendiri tetapi alatan asas seperti topeng selam, sirip selam dan snorkel kita boleh beli sendiri kerana ada yang murah,” katanya.
Mohd Yusof yang turut menyediakan perkhidmatan sewaan peralatan selam skuba berkata menjadi satu kepuasan bagi dirinya apabila melihat penyelam remaja yang pernah mengikuti kursus dengannya mampu menyelam di dasar laut dengan begitu baik dan yang penting dalam keadaan selamat.
“Bila saya tengok mereka yang sudah ada lesen ini mampu menyelam dengan baik, bermakna mereka faham apa yang saya ajar tentang persediaan, keselamatan dan ilmu menyelam, di situlah saya rasa matlamat saya sampai, mereka boleh serap apa yang ajarkan.
“Setakat ini, lebih 20 orang remaja telah mengikuti kursus dengan kami…diharap di fasa peralihan ke endemik ini akan ada lebih ramai remaja ambil peluang ini untuk dapatkan sijil selam skuba,” katanya. – Bernama