Pelakon asal siri televisyen (TV), Mighty Morphin Power Rangers yang popular menerusi watak Tommy Oliver, iaitu Jason David Frank, meninggal dunia pada usia 49 tahun.
Agensi melaporkan, waris mendiang Frank bagaimanapun tidak mengeluarkan kenyataan mengenai pemergiannya.
Pengurus Frank, Justine Hunt tidak menyatakan punca kematian aktor itu dan memohon keluarga dan teman rapat diberi ruang berdepan detik sukar ini.
“Kami kehilangan insan yang sangat baik. Jadi, saya mohon semua pihak beri privasi kepada ahli keluarga dan sahabat handai mendiang dalam tempoh sukar ini,” katanya dalam kenyataan, lapor agensi.
Sementara itu, rakan seperjuangan, Walter Emmanuerl Jones mengaku sukar percaya Frand sudah tiada melalui entri di Instagram.
“Saya sangat sedih kerana kehilangan seorang lagi ‘ahli keluarga’ yang terlalu istimewa,” luahnya.
Sebelum ini, salah seorang pelakon utama Power Rangers yang mengenakan sut kuning, Thy Trang dilaporkan maut dalam kemalangan pada 2001, pada usia 27 tahun.
Mighty Morphin Power Rangers mengisahkan lima remaja yang dipertanggungjawabkan menyelamatkan dunia daripada kejahatan. Siri TV itu kali pertama menemui penonton pada 1993 sehingga mencetuskan fenomena.
Pada musim pertama, Tommy Oliver ditampilkan sebagai watak antagonis yang dikuasai watak jahat, Rita Repulsa, lapor agensi. Bagaimanapun, Oliver diserap masuk ke dalam kumpulan berkenaan sebagai Power Ranger hijau dan muncul watak paling popular dalam siri itu.
Biarpun wataknya sebagai Power Ranger hijau tidak tetap, Frank kemudian diberi watak Ranger Putih yang juga ketua kumpulan terbabit, lapor agensi.
Frank turut membintangi filem Mighty Morphin Power Rangers: The Movie dan Turbo: A Power Rangers Movie serta muncul sebagai cameo untuk pembikinan semula filem Power Rangers pada 2017. Sebagai pengamal seni mempertahankan diri, Frank mempunyai kemahiran dalam pelbagai jenis seni pertahanan diri.
Sebelum ini, TMZ melaporkan isteri kedua mendiang, Tammie Frank dikatakan memfailkan perceraian, Ogos lalu. Frank meninggalkan empat cahaya mata, salah seorangnya bersama Tammie, manakala tiga lagi anak daripada perkahwinan bersama Shawna Frank. – Agensi