Selamat kembali Griezmann – Atletico Madrid

PARIS, 1 SEPT – Penyerang Perancis, Antoine Griezmann melakukan kejutan apabila kembali ke Atletico Madrid hanya selepas dua tahun meninggalkan kelab itu untuk menyertai Barcelona pada hari terakhir jendela perpindahan semalam.

Real Madrid sebelum ini turut berusaha untuk mendapatkan pemain bintang itu selepas ketibaan Eduardo Camavinga dari Rennes namun usaha mereka untuk mendapatkan Kylian Mbappe dari Paris Saint-Germain (PSG) masih gagal.

Griemann, 30, yang memenangi Piala Dunia, meledakkan 133 gol sepanjang masa bersama Atletico, telah menyertai semula dengan perjanjian pinjaman selama setahun dengan pilihan untuk tambahan setahun dan boleh dibeli, kata kelab itu.

“Selamat kembali Griezmann!” tulis Atletico dalam laman web mereka.

Barcelona mengalami masalah kewangan dan terpaksa membenarkan pemenang enam kali Ballon d’Or Lionel Messi meninggalkan kelab itu untuk bersama PSG bulan lalu.

Gambar fail menunjukkan aksi Antoine Griezmann mengawal bola semasa bersama pasukan Atletico Madrid dalam perlawanan La Liga menentang Real Valladolid di Stadium Wanda Metropolitan. Antoine Griezmann telah bergabung semula dengan Atletico Madrid dari Barcelona. – AFP

Pemain tengah Camavinga yang baru berusia 18 tahun itu menandatangani kontrak enam tahun bersama Real dengan kelab itu dilaporkan membayar jumlah 31 juta euros termasuk sembilan juta dalam bonus.

Ia adalah satu jumlah yang cukup besar buat pemain kelahiran Angola pada tahun terakhir kontraknya di Rennes.

Real menghabiskan minggu lalu untuk berusaha mendapatkan Mbappe dengan membuat dua tawaran dan difahamkan nilai tawaran terakhir berjumlah 180 juta euro.

Tetapi PSG tidak perlu menjual dan tampil bersedia untuk berisiko kehilangan Mbappe secara percuma pada akhir kempen agar pemenang Piala Dunia, Neymar dan Messi bersama-sama di posisi serangan sekurang-kurangnya satu musim.

Real boleh kembali membeli Mbappe pada bulan Januari, ketika mereka dapat menandatangani perjanjian pra-kontrak untuk berpindah musim panas depan tanpa perlu membayar yuran perpindahan. – AFP