Selamat melahirkan selepas sekatan jalan PKP

TAWAU, 20 APRIL – Seorang wanita melalui pengalaman cemas apabila terpaksa melahirkan anaknya dalam kereta kerana tidak sempat sampai ke hospital akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya dalam perjalanan ke Hospital Tawau, Sabtu lepas.

Dalam kejadian pada 9:30 pagi itu, Noziee Abdul Asa, 37, yang dalam perjalanan ke hospital bersama bapanya  Abdul Asa Mohd Salleh, 65, dan anak sulungnya Aisha Maizela, 17, terperangkap lebih dua jam susulan dua sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah itu.

Menceritakan kejadian itu, Abdul Asa, seorang pesara kerajaan berkata beliau menerima panggilan anaknya yang mengalami sakit hendak bersalin dan mengambil Noziee dan Aisha di rumah mereka. “Dalam perjalanan terfikir mengenai kesesakan lalu lintas di Jalan Apas sebelum mencari jalan alternatif menggunakan laluan di Jalan Tiku sebelum sekali lagi terperangkap di sekatan Jalan Kuhara,” katanya.

Mujur, sebuah ambulans (ada pesakit) melalui kawasan sama dan Aisha memaklumkan keadaan ibunya kepada kakitangan perubatan, yang kemudian mengarahkan saya memandu dan ikut di belakang ambulans, katanya. -Bernama