Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Selamat selepas 17 hari sesat

    BEIJING, 22 SEPT – Seorang pekerja China yang merawat rakan sekerjanya yang cedera susulan gempa bumi dan kemudian tersesat di pergunungan telah diselamatkan 17 hari kemudian.

    Gempa bumi maut berukuran 6.6 magnitud melanda wilayah barat daya Sichuan awal bulan ini, mengorbankan kira-kira 93 orang dan memaksa ribuan lagi ditempatkan di kem sementara.

    Gan Yu, seorang pekerja di loji kuasa hidro Wandong di Sichuan, ditemui selamat kelmarin oleh penduduk kampung tetapi mengalami kecederaan, menurut Radio Kebangsaan China (CNR) milik kerajaan, dengan menggelar operasi penyelamatan itu sebagai ‘keajaiban kehidupan’.

    Gan sedang bertugas bersama rakan sekerjanya Luo Yong pada 5 September apabila gempa bumi melanda dan kedua-duanya tertinggal untuk memberi pertolongan cemas kepada rakan sekerja yang cedera dan mencegah banjir dengan mengeluarkan air dari empangan.

    Mereka cuba meninggalkan stesen jana kuasa terpencil itu dengan berjalan sejauh kira-kira 20km.

    Kakitangan perubatan memeriksa keadaan kesihatan Gan Yu di Hospital Universiti Sichuan Barat China di Chengdu, Sichuan, China pada 21 September. – Xinhua

    Tetapi Gan yang rabun teruk telah kehilangan cermin matanya semasa gempa bumi dan bergelut untuk mencari jalan di kawasan pergunungan, kata CNR.

    Kedua-dua lelaki itu cuba bermati-matian untuk memberi isyarat kepada penyelamat yang jauh untuk meminta bantuan. “Kami menanggalkan pakaian kami, menggantungnya pada dahan pokok dan melambai-lambainya,” kata Luo kepada CNR.

    Kedua-duanya akhirnya memutuskan Gan perlu tinggal di sana sementara Luo pergi meminta bantuan.

    Luo membantu membuatkan Gan katil daripada lumut dan daun buluh dan meninggalkannya bersama buah-buahan liar dan rebung untuk dimakan sebelum kedua-dua lelaki itu berpisah.

    Luo ditemui oleh penyelamat pada 8 September selepas menggunakan api untuk menarik perhatian helikopter, tetapi ketika tempat perlindungan sementara Gan ditemui pada 11 September, dia telah hilang.

    Hanya pakaian dan tapak kaki sahaja ditemui, para penyelamat bimbang Gan meninggal dunia akibat hipotermia.

    Awal minggu ini, petani tempatan, Ni Taigao pulang ke kampungnya di kaki gunung tempat loji jana kuasa itu terletak dan mendengar tentang operasi pencarian Gan.

    Penduduk kampung itu membantu menyertai operasi pencarian, selepas dua jam mendaki bukit mereka terdengar tangisan Gan yang lemah dan ternampak Gan terbaring di bawah beberapa pokok.

    Menurut penyiar rasmi CCTV, penyelamat lain mengambil masa beberapa jam untuk tiba ke lokasi Gan, yang telah diterbangkan kelmarin ke hospital berdekatan dengan doktor mendapati dia mengalami beberapa keretakan tulang. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...