Selamat selepas hanyut 15 jam di laut

DUBLIN, 14 OGOS – Dua orang sepupu yang hanyut di laut semasa mendayung di luar pantai barat Ireland ditemui berpaut pada boya perangkap udang kara selepas pengalaman pahit selama 15 jam, menurut laporan media.

Pengawal Pantai Ireland berkata wanita berusia 17 dan 23 tahun itu diselamatkan semalam selepas dilaporkan hilang pada petang sebelumnya, mendorong usaha mencari di udara dan laut Teluk Galway semalaman.

Mereka bertahan dan mengharungi hujan lebat dan angin kencang tanpa baju renang, walaupun mereka memakai peralatan bantuan keapungan, beritahu Barry Heskin daripada perkhidmatan bot penyelamat RNLI kepada penyiar awam RTE.

Seorang nelayan tempatan berjaya menjejaki pasangan itu 27 kilometer dari tempat kali terakhir mereka dilihat, selepas bertolak bersama anak lelakinya yang berusia 18 tahun untuk mencari mereka, lapor RTE. – AFP