LONDON, 19 SEPT – Britain mengucapkan selamat tinggal kepada Ratu Elizabeth II hari ini pada istiadat pemakaman negara yang dihadiri oleh para pemimpin dunia, sebelum perjalanan terakhir penuh bersejarah di jalan raya London sambil disaksikan jutaan rakyat dari seluruh dunia.
Orang ramai berkumpul untuk menyaksikan keranda Ratu Elizabeth II yang dibalut bendera dan dihiasi dengan Imperial State Crown, ‘orb’ dan tongkat, dibawa dari Westminster Hall di atas pedati meriam. Ia dibawa oleh 142 kelasi dalam Tentera Laut Diraja ke Westminster Abbey.
Keranda kayu oak yang dilapisi plumbum, dibaluti dengan warna ratu, kemudian diturunkan ke dalam Bilik Kebal Diraja, sementara seorang pemain begpaip memainkan alunan muzik berdukacita.
Kira-kira 6,000 anggota tentera diatur untuk mengambil bahagian dalam perarakan khidmat menuju dan dari biara, di laluan ke Windsor dan perkhidmatan pemakaman di Gereja St George.
Pegawai tentera tertinggi Britain, Ketua Staf Pertahanan, Laksamana Tony Radakin, menamakannya sebagai ‘tugas terakhir kami untuk Duli Yang Maha Mulia Ratu’, mendiang ketua komander mereka dan yang pertama untuk Charles.
Upacara di biara yang berlangsung di bawah operasi keselamatan polis terbesar di London bermula pada jam 11 pagi. Selepas kurang satu jam, seorang peniup begol akan memainkan ‘The Last Post’, sebelum bertafakur selama dua minit dan diteruskan dengan lagu kebangsaan, ‘God Save the King.’
Baginda akan dimakamkan bersama ayahandanya, Raja George VI; bonda, Ratu Elizabeth dan adinda, Puteri Margaret, penyatuan semula dalam kematian bagi sebuah keluarga yang pernah menggelar diri mereka sebagai ‘kami berempat’.
Keranda suaminya, Putera Philip, yang meninggal dunia tahun lalu pada usia 99 tahun akan turut dipindahkan bersebelahan baginda. – AFP