Wednesday, April 24, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Selamatkan insan kecil tidak berdosa

    KUALA LUMPUR – Sebaik sahaja kedengaran dentingan berkali-kali loceng penggera, meskipun malam sudah larut, penjaga di Yayasan OrphanCare akan segera bergegas ke bilik peti pelindung anak damit atau ‘Baby Hatch’.

    Buat sekian kalinya, ada anak damit perlu diselamatkan! Peti pelindung mengandungi katil anak damit serta penghawa dingin beroperasi sepanjang minggu, 24 jam sehari.

    Sebaik sahaja anak damit dimasukkan ke dalam peti itu, bunyi loceng akan kedengaran dan lampu dalam bilik akan menyala. Peti itu secara automatik akan terkunci sejurus anak damit diletakkan dan si ‘pemberi’ tidak boleh lagi mengambil atau melihatnya semula setelah peti berkenaan tertutup.

    Langkah seterusnya adalah untuk petugas OrphanCare membawa anak damit berkenaan ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut, bagi memastikan kesihatannya stabil dan sihat.

    Pasti berdetik di hati, anak damit itu yang tidak berdosa itu berhak punya ruang untuk menikmati kehidupan. Untuk apa mereka dibuang sedangkan titisan dosa bukan si kecil itu yang memulakan.

    Riza memberitahu bahawa ramai yang keliru dengan peti pelindung anak damit dan menyangka Yayasan OrphanCare akan mengambil dan menyimpan anak damit yang diserahkan. Namun sebenarnya anak damit yang ditinggalkan akan segera diselamatkan dengan dibawa ke hospital.- Bernama

    Anak damit ditinggalkan dan nota pesanan

    Tidak dinafikan, saat menatap wajah anak damit di dalam peti pelindung anak damit paling meruntun hati petugas di Yayasan OrphanCare yang ditubuhkan pada tahun 2008.

    Berkongsi pengalaman yang menghibakan hati ini, Pengurus Advokasi dan Komunikasi Yayasan OrphanCare, Riza Alwi berkata, ada anak damit yang ditinggalkan di dalam peti itu hanya dibalut kain batik dengan tali pusat masih berdarah.

    Tidak kurang juga ada yang menyiapkan anak damit mereka lengkap berpakaian comel berserta beg dan susu.

    Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan peti itu, pernah muncul kelibat seorang lelaki muda yang beberapa kali mencium dan membetulkan keadaan anak damit sebelum meninggalkan anak damit itu.

    Ada anak damit yang ditinggalkan bersama nota yang tertera ayat, antaranya, “Saya baharu lahirkan anak saya dua hari lepas, tolong jaga anak saya. Nama anak saya Muhamad Amir, saya sudah menyusukan dia dan telah berjumpa doktor” dan “Tolong jaga anak damit ini dan serahkan kepada keluarga Muslim.”

    Beliau berkata, jika anak damit yang ditinggalkan bersama sedikit maklumat pada nota diberi, akan memudahkan pihaknya untuk mengesan keturunan anak damit tersebut sama ada Islam atau bukan.

    Adakalanya anak damit yang diletakkan dalam peti itu diselitkan nota dalam bahasa Mandarin dan Tamil.

    “Dari situ kita boleh tahu sedikit latar belakang anak damit. Namun jika tiada sebarang maklumat berkenaan anak damit itu dan dokumennya, anak damit itu secara automatik berstatus agama Islam,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama di yayasan itu yang terletak di Petaling Jaya baru-baru ini.

    Menurut Riza, maklumat mengenai waris yang meninggalkan anak damit sangat penting dan diperlukan untuk memudahkan urusan pendaftaran bagi mendapatkan dokumen kewarganegaraan anak damit itu.

    “Tanpa maklumat, amat sukar dan anak damit ini tidak mendapat taraf warganegara. Sekurang-kurangnya tinggalkan nombor telefon untuk dihubungi. Meletak anak damit di ‘Baby Hatch’ bukan jenayah dan si ibu tidak bersalah dan tidak akan didakwa.

    Cuma apa yang kita minta tinggalkanlah maklumat untuk urusan anak damit dan fikirkan masa depannya,” katanya, sambil menambah, mereka yang meninggalkan anak damit kebanyakannya memilih waktu malam dan awal pagi, mungkin tidak mahu diri mereka dilihat.

    Tidak simpan anak damit

    Ramai yang keliru dengan peti pelindung anak damit dan menyangka Yayasan OrphanCare akan mengambil dan menyimpan anak damit yang diserahkan. Anggapan ini tidak benar kerana anak damit yang ditinggalkan akan segera diselamatkan dengan dibawa ke hospital.

    Mengakui masih terdapat ramai yang belum mengetahui sepenuhnya fungsi peti pelindung anak damit itu, Riza berkata, selepas membawa anak damit ke hospital, pihak Yayasan Orphancare akan menjalankan urusan seterusnya iaitu menghubungi keluarga angkat yang sedang dalam senarai menunggu.

    “Anak damit akan dijaga rapi oleh pihak hospital termasuk pemberian susu. Kebiasaannya anak damit akan berada beberapa hari di sana bagi memastikan keadaannya betul-betul sihat, tiada HIV dan bila anak damit sihat baru kita akan menghubungi keluarga angkat, Keluarga angkat ini boleh melihat anak damit mereka di hospital,” katanya.

    Proses untuk keluarga angkat menerima anak damit daripada yayasan berkenaan hanya memakan masa dari tujuh hingga 10 hari.

    Apabila selesai urusan dokumen berkenaan anak damit dibuat, keluarga angkat boleh membawa anak damit itu pulang ke rumah.

    Menurut Riza selain daripada peti perlindungan, dua cara anak damit di-selamatkan menerusi yayasan itu adalah sama ada ibu sedang mengandung datang ke pusat berkenaan dan ibu sudah melahirkan menyerahkan anak damit mereka kepada yayasan untuk dijadikan anak angkat.

    Jangan takut

    Sebenarnya, kesalahan tidak boleh diletakkan semata-mata kepada wanita atau remaja yang hamil kerana masing-masing menanggung kisah pahit yang mungkin membuatkan mereka mengandung serta melahirkan anak damit tanpa pengetahuan keluarga atau masyarakat.

    “Ramai ingat yang mengandung ini budak jahat, gila seks dan sebagainya. Sebenarnya tidak. Ramai yang baik. Mereka ini dari golongan anak-anak yang baik tetapi menjadi mangsa rogol, mangsa seks adik-beradik dalam rumah, mangsa keadaan dan tidak dinafikan ada yang melakukan kesilapan,” katanya.

    Menurut Riza, meskipun khidmat ‘Baby Hatch’ sudah dimulakan sejak tahun 2010, masih ramai yang tidak tahu mengenai perkara itu dan ada juga yang tidak berani untuk meletakkan anak damit di tempat berkenaan.

    “Ramai takut untuk membawa anak damit ke sini kerana mereka ingat mereka boleh kena tangkap. Tidak sama sekali. Meletakkan anak damit di ‘Baby Hatch’ bukan satu jenayah.

    Meletakkan anak damit dalam peti ini bermakna anda datang pada kita dan mohon pertolongan,” katanya menambah, kebanyakan individu yang meletakkan anak damit di peti itu adalah mereka yang sudah terdesak dan panik.

    Yayasan OrphanCare, kata beliau, mengadakan khidmat ‘Baby Hatch’ sebagai salah satu usaha mengurangkan kes buang anak damit yang dilihat semakin membimbangkan.

    “Kami mahu anak damit yang dibuang ini dapat hidup dengan sempurna dan dibesarkan bersama keluarga angkat mereka dengan penuh kasih sayang.

    “Jika kita lihat senario anak damit dijumpai, mereka akan dibawa ke rumah kebajikan sebab anak damit ini tidak boleh diambil kerana ada laporan polis.

    “Apabila dimasukkan ke pusat kebajikan seperti rumah anak yatim dan sebagainya, si kecil ini akan membesar terus di sana dengan tiada identiti dan tiada waris, Ini bermakna mereka tidak ada kehidupan di luar.

    “Bila mencapai umur 18 tahun, semua kanak-kanak yang berada di rumah anak yatim ini perlu keluar dari institusi. Dengan tiada keluarga, pelajaran serta terlalu lama duduk di institusi , golongan ini tidak mesra keluarga.

    Itu yang bila keluar dari rumah anak yatim, ramai jadi pelacur, penagih dadah, duduk bawah jambatan sebab tidak ada keluarga. Ada yang akan ikut senior mereka, jika senior jual dadah, maka junior ini akan ikut,” katanya.

    Justeru Riza berkata, Yayasan OrphanCare tidak mahu kejadian sedemikian berlaku maka ‘baby hatch’ adalah antara jalan penyelesaian dengan memberi peluang kepada ibu yang melahirkan, menyelamatkan anak damit mereka.- Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...