Oleh Nurdiyanah R.
Jika kita merenung alam ini dengan sebaiknya, pasti kita akan dapat merasa begitu besar kekuasaan Allah SWT mentadbir segala urusan.
Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar makhluk ciptaanNya pasti tiada yang sia-sia.
Tumbuh-tumbuhan adalah salah satu ciptaan mengandungi rahsia kebesaran dan keagungan Allah SWT.
Kesempurnaan penciptaanNya banyak memberi manfaat kepada kita antaranya sebagai sumber makanan, pengawalan suhu iklim dan pusat tadahan air hujan.
Apa keistimewaan barli?
Salah satu tumbuhan yang memiliki keistimewaan yang tersendiri jika kita selami secara terperinci ialah barli, tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Gramineae dan menyerupai pokok gandum yang memiliki ketinggian kira-kira satu meter dan banyak ditanam di negara-negara barat.
Barli atau nama botaninya Hordeum Vulgare dikatakan bijirin pertama yang telah ditanam di Timur Tengah kira-kira 9,000 tahun dan mungkin juga merupakan bijirin terawal dan paling penting pada ketika itu.
Bijirin barli boleh dijadikan tepung, emping dan dedak.
Batangnya boleh dijadikan kertas dan bahan pembinaan manakala keseluruhan tanaman boleh dijadikan sebagai makanan haiwan ternakan.
Memiliki dua jenis serat sebagai sumber terbaik
Bijirin barli merupakan sumber terbaik serat pemakanan, protein dan karbohidrat kompleks serta vitamin dan galian.
Terdapat dua jenis serat pemakanan iaitu mudah dilarutkan dan tidak mudah dilarutkan namun menariknya barli mempunyai kedua-dua jenis serat berkenaan yang sekali gus sebagai sumber terbaik serat yang mudah dilarut.
Penulis pernah terbaca terdapat kajian klinikal di Australia, Kanada dan Amerika Syarikat melaporkan bahawa serat daripada barli efektif dalam merendahkan kadar kolesterol dalam darah.
Serat yang tidak mudah larut dalam barli adalah penting bagi memastikan usus dapat berfungsi dengan sihat.
Beta-glucan adalah bahan utama dalam serat mudah larut yang didapati dalam barli.
Barli daripada jenis waxy lebih tinggi kandungan beta-glucan daripada jenis barli lain. Tahap beta-glucan yang tinggi dalam variasi barli ini dikatakan bertanggungjawab meningkatkan tahap glukosa dan lemak dalam darah di kalangan pesakit diabetes tahap dua.
Barli mempunyai kandungan tokotrienol dan tokoferol (tokol) yang tinggi merupakan minyak yang bertindak sebagai antioksida semula jadi bagi membantu meneutralkan radikal bebas dan boleh mengurangkan risiko penyakit barah dan jantung.
Dalam pada itu, para pesakit diabetes juga perlu mengawasi tahap gula dalam darah dengan berhati-hati, jika memakan barli dalam jumlah yang signifikan atau dimakan sebagai makanan tambahan.
Hal ini begitu penting ditakuti hipoglisemia (gula dalam darah yang rendah) boleh berlaku.
Selain itu, tunas bijirin barli turut bertindak sebagai pelega, pengeluar kahak dan pelembut. Ia boleh juga digunakan dalam merawat dispepsia, muntah dan kekembungan akibat minum susu ibu. Malah perlu diketahui juga sebaik-baiknya tunas bijirin barli ini tidak diberikan kepada ibu yang menyusukan anak damit kerana dikatakan ia mengurangkan pengaliran susu. Kadangkala ia juga bertindak sebagai bahan yang boleh menyebabkan berlakunya keguguran bagi ibu yang sedang mengandung.
Terokai manfaat alami
Sehubungan itu, antara manfaat alami yang dapat diamalkan dengan tumbuhan barli ialah bijinya boleh digunakan sebagai ramuan tampal untuk luka akibat terbakar.
Bijirin barli juga dikatakan boleh membantu dalam menghilangkan berat badan kerana ia bertindak sebagai penahan selera makan.
Air rebusan bijirin barli pula dikatakan boleh diambil sebagai penyejuk badan. Selain itu, daun pokok barli yang berupa seperti lalang dan berwarna hijau juga dikatakan berkhasiat. Ini kerana apabila ia mencapai ketinggian sehingga 12 hingga 14 inci, ia mengandungi banyak vitamin, mineral, protein dan klorofil yang diperlukan oleh manusia.
Malah dikatakan jus barli hijau mengandungi 11 kali kalsium daripada susu lembu, hampir lima kali zat besi dalam sayur bayam, tujuh kali vitamin C dalam buah oren dan 80mg vitamin B12 daripada 100 gram barli.
Oleh itu, bagi pesakit serius seperti artritis dan barah, pengambilan jus ramuan daun barli yang berwarna hijau atau yang telah dikeringkan, dalam jangka masa dua jam selepas makan kepada 20 minit sebelum hidangan seterusnya dikatakan mampu membuatkan enzim-enzim digunakan dengan baik.
Cara ini dapat membiarkan enzim diambil secara langsung dan sekali gus masuk ke dalam saluran darah di mana ia digunakan bagi memperbaiki dan menyembuhkan tubuh. Perlu diketahui juga, jus yang dihasilkan daripada daun barli dikatakan mampu merendahkan tahap kolesterol dalam darah. Bahan kimia dalam daun ini dikatakan mampu melambatkan penghasilan kerosakan saluran darah yang disebabkan oleh diabetes.
Oleh yang demikian, apa kata kita amalkan pengambilan barli dalam diet harian kita. Selain dibuat minuman, ia juga boleh dimasak maka apa lagi jom terokai bersama pelbagai sentuhan resepi yang begitu mudah didapati di laman-laman Internet.