Wednesday, December 4, 2024
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selami keunikan tradisi rumah panjang

    Oleh Nurdiyanah R.

    Gambar oleh Muiz Matdani

    Rumah panjang atau dalam Bahasa Iban disebut ‘rumah panjai’, merupakan satu cerminan identiti masyarakat Iban.

    Kewujudannya menjadi khazanah warisan sehingga bersemadinya semangat perpaduan dan keharmonian dalam menjalankan kehidupan harian di bawah satu bumbung.

    Struktur binaannya begitu menarik dan unik. Lazimnya rumah panjang mempunyai tiga ruang iaitu tanju (serambi atau beranda terbuka), ruai (ruang terbuka) dan bilik. Setiap ruang bilik yang bercantum yang membentuk rumah itu sebenarnya mempunyai pecahan bahagian mengikut jumlah keluarga menghuni di rumah panjang itu. Bukan satu atau dua buah keluarga bahkan belasan keluarga mendiaminya.

    Bagaikan peluang keemasan, penulis dan rakan Media Permata berkesempatan menjejakkan kaki di salah sebuah rumah panjang di Daerah Temburong, Rumah Panjang Kampung Amo ‘B’ di Mukim Amo, baru-baru ini.

    Rumah panjang miliki simbolik tersendiri

    Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 30 minit dari Pekan Bangar, rumah panjang berstruktur buatan kayu yang memiliki 15 buah pintu bilik utama dan dihuni oleh lebih 90 orang ahli keluarga secara keseluruhannya itu merupakan pembinaan kali kedua pada tapak yang sama.

    Hujan Anak Muit menyatakan bahawa penghuni di rumah panjang kebiasaannya terdiri daripada mereka yang mempunyai pertalian darah kekeluargaan dan itulah keunikan rumah panjang sehingga menjadi identiti khazanah tradisi daripada satu generasi ke generasi penerus.
    Suatu cerminan identiti masyarakat Iban, rumah panjang atau dalam Bahasa Iban disebut ‘rumah panjai’ moden memiliki struktur binaan yang begitu menarik dan unik.
    Keindahan warisan budaya masyarakat Iban sememangnya begitu seronok diselami seperti menyaksikan kehebatan pakaian tradisi mereka yang penuh dengan nilai keaslian yang tersendiri.
    Seni kraf tangan seperti anyaman rotan serta pelbagai aksesori berasaskan manik juga menjadi salah satu usaha pencetus perekonomian penduduk setempat.

    Menurut Hujan Anak Muit, selaku ketua Kampung Amo, Mukim Amo, Daerah Temburong, pembinaan pertama dilakukan pada tahun 1960an. Manakala proses pembaikan pula dijalankan sekitar tahun 1980an namun segalanya masih mengekalkan struktur binaan yang sama dari dahulu sehingga kini.

    “Ruai atau lebih dikenali sebagai ruang legar pada bahagian dalam rumah panjang itu merupakan konsep ciri khas binaan yang mesti dimiliki bagi setiap rumah panjang yang mana ia digunakan apabila berlangsungnya acara perhimpunan.

    “Dari situ ia sememangnya jelas menonjolkan masyarakat yang sentiasa bersatu padu dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain apabila menetap di bawah satu bumbung. Pastinya penghuninya terdiri daripada mereka yang mempunyai pertalian darah. Itulah simbolik dan keunikan rumah panjang ini sehingga menjadi identiti khazanah tradisi dari satu generasi ke generasi penerus,” ujarnya dengan nada penuh ketulusan.

    Pencetus pusat tarikan pelancong

    Menariknya di Mukim Amo, Rumah Panjang Kampung Sibut juga dilihat sebagai pencetus pusat tarikan pelancong di daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’ ini iaitu menerusi perkhidmatan inap desa kepada para pengunjung dalam dan juga luar negara.

    Dikenali dengan nama Lubuk Batu Mas Homestay, Salmah Anak Ampili selaku pengurus inap desa berkenaan menyatakan bahawa rumah panjang berstruktur dua tingkat iaitu separa kayu pada bahagian atas dan konkrit (batu/simen) di bahagian aras bawahnya kini semakin menjadi salah satu tempat destinasi tarikan pelbagai pengunjung yang bukan hanya terdiri daripada masyarakat tempatan bahkan juga mereka dari luar negara antaranya negara-negara ASEAN, China, Australia dan New Zealand.

    Rumah panjang berkenaan pernah mengalami kerosakan akibat berlakunya musibah kebakaran pada tahun 1994 yang menyebabkan penghuninya berpindah seketika di kampung lain sementara menanti proses pembaikan dan juga pembinaan semula. Proses pembaikan mengambil masa sekitar dua tahun dan menerima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk orang persendirian, agensi kerajaan dan juga swasta.

    Miliki nilai estetika dan keaslian tersendiri

    Apabila penulis menjejakkan kaki ke rumah panjang berkonsepkan separa moden itu, keindahan warisan budaya masyarakat Iban sememangnya begitu seronok diselami bersama. Timbulnya keghairahan dalam mempelajari serba sedikit bahasa mereka serta pakaian tradisi, tarian asli Ngajat dan juga menikmati keunikan hidangan seperti ayam buluh.

    Meskipun hanya singgah seketika namun pengalaman di sana mengajar erti sebuah kehidupan dalam bersatu menghargai nilai budaya yang diwarisi daripada nenek moyang terdahulu. Di samping itu, seni kraf tangan seperti jahitan pakaian tradisi dan anyaman rotan serta pelbagai aksesori berasaskan manik juga menjadi salah satu langkah usaha pencetus perekonomian penduduk setempat untuk bangkit dengan penuh keyakinan dalam menghasilkan variasi produk atau barangan yang sememangnya mempunyai nilai estetika dan keaslian yang tersendiri.

    Bersatu padu menjadi pegangan

    Dalam menjalankan perkhidmatan inap desa di rumah panjang yang juga sebagai tempat tinggal penduduk setempat, Salmah turut merakamkan kegembiraan dengan adanya penglibatan penghuni rumah panjang berkenaan tidak kira golongan muda, dewasa dan warga emas yang begitu bersemangat dalam sama-sama membantu meningkatkan kualiti inap desa di rumah panjang tersebut dari semasa ke semasa seperti dari segi kebersihan dan kemudahan.

    “Manakala bagi meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan pengunjung, para penghuni juga didedahkan kepada beberapa kursus bahasa menerusi kelas Bahasa Inggeris. Hal ini sekali gus merupakan satu peluang yang sangat bermanfaat untuk semua lebih-lebih lagi untuk mewujudkan suasana kehidupan bersama para pengunjung yang bagaikan keluarga angkat,” tambahnya semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda