KUALA LUMPUR, 4 OKT – Pengendali sementara pasukan Selangor Michael Feichtenbeiner sangat gembira dengan prestasi pemainnya yang mencatat kemenangan besar 7-0 ke atas pasukan tercorot Liga Super, PDRM di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini, malam tadi.
Jurulatih kelahiran Jerman berusia 60 tahun itu berkata kemenangan kali kedua pasukan di bawah bimbingannya sudah tentu akan meningkatkan semangat pemain skuad The Red Giants untuk perlawanan terakhir mereka menentang Felda United FC di Stadium UiTM di Shah Alam pada 10 Oktober.
“Mereka bermain dengan baik pada babak pertama, sama seperti minggu lepas dan kami menjaringkan beberapa gol yang baik dalam babak pertama.
“Hanya pada 15 minit selepas rehat, saya berasa tidak gembira dengan persembahan mereka tetapi selepas gol keempat, pemain berjaya mendapat rentak mereka semula. Kami mempunyai gaya bola sepak tersendiri,” katanya pada sidang media selepas perlawanan. – Bernama






























