Selangor perkukuh peringkat akar umbi

KUALA LUMPUR, 10 SEPT – Persatuan Hoki Selangor (PHS) mahu memperkukuhkan lagi pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi, untuk kembali muncul sebagai kuasa besar hoki dalam kejohanan tempatan.

Presidennya Ganesh Shanmugam, yang mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding untuk penggal 2020-2023 berkata, persatuan itu perlu mewujudkan kesedaran dalam kalangan golongan muda mengenai sukan hoki untuk mencapai objektif mereka melahirkan pemain berkualiti untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa.

“Kami akan menubuhkan empat pusat pembangunan di Selangor tidak lama lagi bagi mencungkil pemain berbakat dengan bantuan Majlis Sukan Negara (MSN). Kami belum memutuskan di mana pusat-pusat itu dibuka, tetapi kami berharap dapat memulakan program pembangunan untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 12 tahun, tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Bernama