Oleh Daniel Lim
Gambar daripada IBTE SBC
KUALA BELAIT, 7 Mei – Seramai 10 orang tenaga pengajar dari Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan Satelit mengikuti program latihan American Society bagi Kursus Non-destructive Testing Visual Testing Level 2 (ASNT VT 2) yang berlangsung selama empat hari, bulan lalu.
Program latihan berkenaan dianjurkan oleh Mozzat Sdn Bhd dan dijalankan di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah (SBC), Seria.
Majlis penutup kursus latihan berkenaan telah diadakan pada 25 April lalu di IBTE SBC yang dihadiri oleh Ketua Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan Satelit, Pengiran Mohd Hassan bin Haji Abd Rahman; Pengarah Mozzat Enterprise Sdn Bhd, Awangku Zaini bin Pengiran Haji Othman; dan Pengurus Perhubungan Mozzat Enterprise Sdn Bhd, Balakrishnan Chandramohan.
Pengiran Mohd Hassan dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa kursus berkenaan merupakan yang pertama kali diadakan di kampus tersebut dengan itu, beliau menyampaikan penghargaan kepada Mozzat Enterprise Sdn Bhd kerana menyediakan latihan yang diperlukan untuk tenaga pengajar.
“Kami berharap untuk mengembangkan kejayaan program permulaan ini dan meneruskan kerjasama bersama Mozzat Enterprise Sdn Bhd untuk menganjurkan lebih banyak kursus latihan pada masa depan,” ujarnya.
Pada majlis itu, penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Awangku Zaini dan diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan kepada syarikat tersebut kerana memberikan kemahiran dan masa mereka untuk menjalankan latihan di kampus tersebut.
Antara objektif kursus berkenaan adalah untuk merapatkan jurang kemahiran tenaga kepada dan menyelaraskannya dengan standard perindustrian. Kemahiran dan pengalaman yang diperolehi semasa kursus berkenaan juga menyumbang kepada penambahbaikan pengetahuan para tenaga pengajar mengenai teknik-teknik pengujian dan boleh digunakan dalam pengajaran mereka.