Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Dalam hasrat untuk menerapkan konsep Negara Zikir dalam pengajaran dan pembelajaran, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam (FPPI), kelmarin, telah mengadakan sesi perbincangan berkenaan Constructive Alignment of Islamic History & Civilisation and Development Management Curriculum with the Future Job Market from Negara Zikir Perspective.
Sesi perbincangan tersebut bertujuan untuk memastikan kesepaduan dan keberkesanan dalam mereka bentuk kurikulum dengan menyelaraskan hasil pembelajaran, kaedah penilaian dan strategi pengajaran sesuai dengan konsep Negara Zikir.
Taklimat mengenai penjajaran konstruktif kurikulum telah disampaikan oleh dua penilai luar yang dijemput iaitu Profesor Dr Berghout Abdelaziz dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Profesor Madya Dr Shahril Ahmad Razimi dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Dihadiri oleh para tenaga akademik FPPI, taklimat diteruskan dengan sesi perbincangan antara penilai dan tenaga akademik.
Antara pengisian perbincangan adalah mengenai cara meningkatkan petunjuk prestasi utama (KPI) fakulti iaitu dengan memastikan setiap graduan akan beroleh pekerjaan yang berkaitan setelah selesai pengajian di universiti dan dapat mengaplikasikan setiap pengetahuan yang mereka pelajari kepada bidang pekerjaan mereka.
