Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Mesyuarat Pengarah Majlis Pusat ASEAN-Korea (AKC) ke-14 telah diadakan melalui persidangan video yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa, Kemboja, Sim Vireak, pada 14 Februari lalu.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, mesyuarat itu, turut dihadiri oleh pengarah-pengarah majlis daripada negara-negara anggota ASEAN dan Republik Korea (ROK) serta Setiausaha Agung AKC, Kim Hae-yong.
Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi), Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin dan pegawai-pegawai dari Bahagian Perdagangan di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Semasa ucapan pembukaan selaku outgoing chair, Dr Hajah May Fa’ezah telah mengongsikan antara lain ROK kekal sebagai rakan kongsi penting ASEAN dengan jumlah perdagangan barangan mencecah AS$154.2 bilion pada 2020.
ROK merupakan rakan perdagangan keempat terbesar ASEAN dan sumber aliran masuk pelaburan langsung asing kelima terbesar, menggalakkan AKC untuk membangunkan program kerja yang memanfaatkan inisiatif transformasi digital yang sedia ada di ASEAN seperti ASEAN Digital Masterplan 2025 dan Peta jalan Bandar Seri Begawan (BSBR) serta program-program yang boleh menggalakkan dan meningkatkan pemahaman mengenai Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) serta menghargai sokongan yang diberikan oleh ROK kepada pembangunan ASEAN yang telah diperluaskan kepada sub-serantau BIMP-EAGA.
Dr Hajah May Fa’ezah turut maklum mengenai penubuhan BIMP-EAGA-ROK Cooperation Fund (BKCF) untuk menyokong projek dan pembangunan yang memfokuskan kepada kesalinghubungan, pelancongan dan alam sekitar. Mesyuarat juga mengesahkan cadangan Program Kerja Tahunan dan Belanjawan bagi Tahun Fiskal 2022.