Tuesday, September 27, 2022
22.3 C
Brunei

‘Selawat senegara’ ikhtiar mohon kesejahteraan

-

Oleh Salawati Haji Yahya

Kita sebagai umat Islam adalah umat yang sangat bertuah yang mana tuah itu letaknya pada Al-Quran dan as-Sunnah. Kalau kita berpegang teguh kepada keduanya Insya-Allah, bahtera kehidupan kita tidak akan karam, bahkan ia akan terus sahaja selamat.

Al-Quran dan as-Sunnah adalah penyelamat yang mana kedua-dua ini merupakan perlembagaan bersepadu dan jika diikut dan dipatuhi, ia akan membawa kepada keselamatan di dunia dan akhirat.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, semasa menyampai tazkirah khusus bagi mengalu-alukan rancangan ‘Selawat Senegara’ yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei (RTB) hari ini.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, ciri-ciri keselamatan itu antaranya, berada dalam sihat afiat dan jauh daripada sebarang bencana atau musibah. Kerana itulah, katanya, Allah dan rasul-Nya sama-sama mengungkap untuk mengingatkan kita bahawa ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis adalah penyembuh, pelepas dukacita, pencegah dan penolak bala.

Beliau seterusnya menjelaskan mengenai maksud penawar, ia meliputi sebagai ubat, sebagai bahan perawat segala penyakit. Sementara maksud rahmat pula, meliputi sebagai kubu perlindungan dan sebagai penjamin keselamatan dan kesejahteraan.

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa menyampai tazkirah khusus bagi mengalu-alukan rancangan ‘Selawat Senegara’ yang disiarkan melalui RTB. – Gambar serahan Jabatan Mufti Kerajaan
Al-Quran dan as-Sunnah adalah penyelamat yang mana kedua-dua ini merupakan perlembagaan bersepadu dan jika diikut dan dipatuhi, ia akan membawa kepada keselamatan di dunia dan di akhirat.
Lima buah masjid utama seluruh negara akan serentak mengumandangkan selawat Tafrijiyyah dengan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien menjadi tumpuan yang akan disiarkan secara langsung oleh RTB. – Gambar fail

Ini semua, tegasnya adalah pemasyhuran yang Al-Quran itu memang khazanah untuk kita mendapatkan penawar dan rahmat. Begitu juga hadis adalah sumber yang menyediakan segala keperluan untuk kita berubat dan melepaskan diri daripada kesusahan dan bala bencana.

Antara sumber utama sebagai penyelamat dan penyampai hajat itu, tegasnya lagi adalah selawat ke atas Nabi SAW. Menurut Yang Berhormat Pehin, 70 hajat di akhirat akan ditunaikan oleh Allah SWT sangatlah banyak, kalau dapat dipenuhi dua atau tiga hajat sahaja pun sudah cukup hebat. Sementara hajat di dunia pula, ada 30 telah dijanjikan oleh Allah SWT dan ini pun juga banyak.

“Satu daripadanya kita pohonkan kepada Allah SWT ialah untuk bebas daripada bahaya COVID, untuk COVID berundur segera dari negara kita.

“Berkat kita bertawasul kepada Nabi SAW dengan membaca selawat Tafrijiyyah ke atas Baginda sebanyak 4,444 kali atau lebih, berdasarkan pendapat para ulama bahawa berselawat dengan bilangan ini, kita umat Islam akan mendapat syafaat, akan beroleh ketenangan jiwa, pahala, rezeki yang luas, pembelaan dan keampunan Allah SWT, serta akan beroleh kelepasan daripada segala kesusahan dan musibah, pendeknya, akan terkabul segala hajat di dunia dan di akhirat, Insya-Allah.

“Inilah makanya, kita pilih khusus selawat Tafrijiyyah ini untuk kita baca beramai-ramai di dalam rancangan selawat senegara nanti,” katanya.

Selain berselawat untuk disampaikan hajat, jelas Yang Berhormat Pehin lagi, berselawat juga sebagai memenuhi tuntutan menghormati dan mencintai Nabi SAW yang memang sangat-sangat dituntut.

Malah menghormati dan mengasihi Nabi SAW itu, jelasnya adalah syarat utama untuk mendapatkan syafaat Baginda.

“Jika tidak ada hormat dan tidak ada cinta kepada Baginda, tidak akan berlaku syafaat itu, malah boleh mengundang kepada hukuman Allah SWT.

“Menghormati dan mengasihi Nabi SAW bukan saja dituntut ke atas kepada manusia, tapi juga dituntut ke atas lain-lain makhluk, jin dan para malaikat. Ini kedudukan selawat itu, dilakukan sebagai tanda hormat dan cinta kita kepada Nabi SAW. Manakala kita melakukannya, maka Allah akan membalas kita dengan ganjaran rahmat iaitu rezeki luas, sihat tubuh badan, riang gembira, selamat, terangkat segala bala atau musibah, khasnya musibah wabak koronavirus, Insya-Allah,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin menambah, dalam acara ‘Selawat Senegara’ nanti, selawat Tafrijiyyah dipilih khusus untuk dibaca beramai-ramai dengan mengambil kira pendapat para ulama, dengan membaca selawat ini hajat-hajat besar kita, Insya-Allah akan disampaikan oleh Allah. Ini seperti hajat untuk keluar daripada dukacita, sembuh dari penyakit, hajat untuk menolak bala bencana, dan menggagalkan rancangan-rancangan jahat musuh, pendeknya untuk menyampaikan segala hajat. Matlamat bacaan, sasarkan kepada 4,444 kali, iaitu bilangan yang sudah dicuba mujarab oleh orang-orang yang terdahulu.

Jelas Yang Berhormat Pehin, lima buah masjid utama seluruh negara akan serentak mengumandangkan selawat ini, dengan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien menjadi tumpuan, akan disiarkan secara langsung oleh RTB.

Selawat akan dibaca oleh tiap-tiap masjid sebanyak 11 kali saja dengan kapasiti pembaca tiap-tiap masjid 500 orang ke atas. Ini bermaksud, jika sebuah masjid sahaja membaca 11 kali selawat oleh 500 orang, maka bererti jumlah yang akan didapat bagi sebuah masjid ialah 5,550 kali selawat dan ini telah melimpasi angka yang kehendaki iaitu 4,444 kali.

Manakala jika lima buah masjid sama-sama serentak berselawat 11 kali oleh 500 orang bagi tiap-tiap masjid, maka jumlah keseluruhan selawat yang dibaca itu akan mencecah sebanyak 27,500 kali.

“Subhanallah, tidak syak lagi, negara pada masa itu adalah cukup-cukup meriah dengan selawat dan sukar untuk dibayangkan, betapa lebatnya hujan rahmat yang akan turun ke atas Brunei,” tekannya.

Katanya lagi, “Betapa dengan sendirinya para malaikat juga akan turut terpanggil untuk berselawat sama (berdoa) bagi kita yang berselawat dan malah apabila para malaikat berselawat (mendoakan kita) kerana kita berselawat, maka Allah juga akan berselawat (mendatangkan rahmat dan maghfiratNya) kepada kita, dan bahkan apabila Allah berselawat, maka tiada terkecuali apa yang ada di langit dan di bumi, berupa hidup-hidupan di laut, pohon-pohon, burung-burung, binatang-binatang liar dan ternakan, semuanya itu akan turut berselawat (mendoakan) kita yang berselawat. Demikian Ibnu Al-Mulqin meriwayatkan daripada Nabi SAW.

“Pada saat itu kelak, berkat akan turun dari langit memenuhi bumi Darussalam, ibarat cahaya yang bergemerlapan menembusi segenap sudut dan ruang bumi Darussalam, sehingga membolehkan kita semua dapat bersuluh dengan cahaya tersebut, bukan cahaya lilin atau cahaya lampu biasa, tetapi adalah cahaya berkat, rahmat dan syafaat,” jelasnya.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Nahas bot terbalik, ragut 24 jiwa

DHAKA, 25 SEPT – Sekurang-kurangnya 24 orang lemas manakala 24 lagi masih hilang selepas bot yang sarat membawa penganut Hindu terbalik di sebuah sungai...
- Advertisment -