Selena Gomez kagum dengan Blackpink

Selena Gomez baru-baru ini mendedahkan bahawa dia meraih banyak pengalaman dan pengajaran selepas bekerjasama dengan kumpulan wanita Korea, Blackpink.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Gomez pada perbincangan bersama bintang YouTube, Nikkie de Jager, yang turut bertanya apakah pesanan nasihat yang diberikan oleh Gomez kepada bintang K-Pop tersebut.

“Saya rasa saya dapat belajar banyak pengetahuan daripada mereka,” kata penyanyi berusia 28 tahun itu.

Gomez turut menambah,”Etika kerja mereka adalah sesuatu yang saya tidak pernah lihat sebelum ini. Dan saya ingin mengatakan bahawa saya bekerja keras untuk itu.

“Apa yang saya pelajari ketika saya berbual dan bertemu dengan mereka adalah mereka sangat disiplin dan berbakat sehingga tidak ada yang tidak ingin mereka lakukan. Mereka luar biasa dan saya merindui mereka,” Gomez dipetik sebagai berkata oleh Billboard.

Sebelum ini, pencapaian tertinggi Blackpink adalah menduduki tangga ke-33 dengan lagu How You Like That dan mereka turut bekerjasama dengan Lady Gaga menerusi lagu Sour Candy.

Menurut Billboard, Blackpink adalah kumpulan wanita pertama yang menghasilkan tiga hit top-40 berturut-turut sejak Fifth Harmony pada 2015 dan 2016.

Selepas mengeluarkan lagu Ice Cream bersama Selena Gomez, Blackpink turut mengumumkan bahawa mereka bakal mengeluarkan album debut penuh mereka pada 2 Oktober nanti. – Agensi

Selena Gomez bekerjasama dengan Blackpink menerusi lagu Ice Cream menyatakan kekaguman disiplin mereka yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. – Agensi.