Baru-baru ini saya terbaca mengenai aduan banjir kilat yang berlaku di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Mengkubau.
Bak kata pepatah ‘Berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya,’ saya sangat bersimpati kepada penduduk di sana dengan masalah yang mereka hadapi.
Salah seorang ahli keluarga saya yang menetap di sana, turut mengatakan masalah banjir sudah lama dialami penduduk di kawasan terbabit.
Beliau juga memaklumkan kepada saya bahawa beberapa aduan sudah dibuat, namun belum ada tindakan daripada pihak relevan, walhal dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, pemantauan segera sepatutnya dibuat oleh pihak berkenaan demi kemaslahatan penduduk.
Sehubungan itu, janji pihak relevan untuk memperbaiki keadaan sepatutnya dan perlulah dikotakan segera, supaya penduduk di sana tidak lagi menanggung masalah sama berulang kali setiap kali musim hujan, sehingga mengalami kerugian kerosakan harta benda.
Diharap pihak relevan segera meninjau permasalahan itu dan mencari inisiatif bagi mengatasi banjir kilat yang dihadapi bertahun-tahun serta menjejaskan kualiti kehidupan penduduk sekitarnya.
Turut simpati