Saturday, December 7, 2024
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selepas 15 tahun, rangka bekas pemilik rumah ditemui

    STRASBOURG, 4 NOV – Pemilik baharu yang sedang mengubah suai sebuah rumah di timur Perancis dikejutkan dengan penemuan rangka manusia yang dipercayai milik bekas pemilik rumah tersebut yang dilaporkan hilang 15 tahun lalu, menurut kenyataan pendakwa raya hari ini.

    “Mayat yang tinggal rangka ditemui pada petang Sabtu di Erstroff, berhampiran sempadan dengan bandar Saarbruecken di Jerman,” kata pendakwa raya di bandar Sarreguemines yang berdekatan, Olivier Glady.

    “Rangka tersebut ditemui di kawasan sukar diakses di bawah bumbung dengan pintu masuk yang hampir tersembunyi,” jelas Glady kepada AFP.

    Pemilik baharu itu membeli rumah tersebut pada 2023 selepas kematian balu bekas pemiliknya dan memulakan pengubahsuaian.

    “Sewaktu mencari punca kebocoran air hujan pada struktur bumbung, salah seorang pemilik tanpa sengaja memasuki ruang tersembunyi itu dan menemui rangka manusia di dalamnya,” kata Glady.

    Mayat tersebut ‘berkemungkinan besar’ adalah milik bekas pemilik yang dilaporkan hilang pada tahun 2009 ketika berusia 81 tahun, tambahnya.

    Polis tempatan kini menyiasat punca kematian, dan rangka tersebut telah dihantar ke Strasbourg untuk pemeriksaan forensik.

    Akhbar tempatan, Le Republicain Lorrain melaporkan bahawa kes kehilangan lelaki tersebut tidak terungkai walaupun beberapa operasi pencarian intensif telah dijalankan di kawasan tersebut.

    Isterinya meninggal dunia pada tahun 2020, yang membawa kepada penjualan rumah tersebut.

    “Keadaan di tempat mayat ditemui menunjukkan kemungkinan kes bunuh diri,” kata pendakwa Glady, sambil menambah bahawa seutas tali masih tergantung di loteng. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda