Selepas 6 tahun disekat, pelancong Rusia mula kunjungi Hurgada

KAHERAH, 9 OGOS – Sebuah pesawat pelancongan Rusia dari Moscow mendarat di tempat peranginan Laut Merah Mesir buat pertama kali sejak kejadian pengeboman jihad ke atas sebuah penerbangan Rusia pada Oktober 2015, kata pegawai penerbangan awam.

Moscow menyekat penerbangan langsung ke Mesir selepas pengeboman pesawat penumpang sejurus selepas ia berlepas dari tempat peranginan Sharm el-Sheikh, Laut Merah membunuh semua 224 penumpang di dalamnya.

Penerbangan EgyptAir hari ini dari bandar Rusia membawa 300 pelancong ke Hurghada dan penerbangan kedua dijangka berlepas esok untuk membawa pelancong Rusia ke resort popular Sharm el-Sheikh.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EgyptAir, Amr Abulenein memberitahu AFP yang pengangkutan kebangsaan itu akan beroperasi tujuh kali penerbangan seminggu antara Moscow dan Hurghada dan Sharm el-Sheikh.

Satu delegasi Rusia memeriksa kedua-dua lapangan terbang dan hotel-hotel resort pada hujung bulan untuk memeriksa keselamatan dan prosedur kesihatan, menurut agensi berita Tass Rusia.

Serangan enam tahun lalu didakwa dilakukan oleh kumpulan IS memberi tamparan hebat kepada industri pelancongan penting Mesir dan sektor itu telah dijejaskan lagi oleh pandemik COVID-19.

Mesir menerima semula pelancong asing pada Julai tahun lalu selepas menutup sempadannya pada Mac untuk membendung jangkitan koronavirus. – AFP

Para pelancong dari Rusia tiba di kawasan peranginan Hurgada di Laut Merah Mesir pada 9 Ogos. – AFP