Selepas dua bulan kuarantin, Priyanka Chopra dan Nick Jonas akhirnya keluar rumah

Pasangan selebriti terkenal iaitu Priyanka Chopra dan Nick Jonas akhirnya keluar berjalan-jalan selepas dua bulan menjalani kuarantin di rumah mereka yang terletak di Los Angeles.

Memetik laporan Hindustantimes, Priyanka berkongsi perkara itu dengan memuat naik swafoto memakai topeng muka di laman Instagramnya pada Isnin.

Pasangan itu mencuba untuk menjalani kehidupan seperti biasa dengan mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan Amerika Syarikat mencatat jumlah kes kematian wabak COVID-19 tertinggi.

Pada Mac lalu, Priyanka ada meluahkan perasaan mengenai kehidupannya berubah selepas krisis penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

“Ini adalah waktu yang sangat sukar dan kehidupan kita semua menjadi tunggang terbalik seperti dalam filem tapi tidaklah sama. Saya dan Nick sudah berada di rumah sejak minggu lalu.

“Kami sentiasa ada jadual yang padat dan kami dikelilingi ramai orang setiap hari tapi tiba-tiba perkara ini terjadi dan ia sesuatu yang gila. Saya pasti semua orang berasakan yang sama.

“Apa-apa pun kita kena ambil langkah berjaga-jaga, kita selamat, kita sihat dan sentiasa menjaga jarak antara satu sama lain,” katanya. – Agensi

Priyanka dan Nick menjalani kuarantin selama dua bulan di rumah. – Agensi