Selepas kemarau, California dibadai ribut

SAN FRANCISCO, 26 OKT – Ribut besar membadai ke arah California Selatan hari ini selepas membanjiri lebuh raya, menumbangkan pokok dan menyebabkan batu runtuh serta lumpur mengalir di kawasan yang pernah dilanda kebakaran hutan di utara negeri itu.

Hujan mencurah-curah dan angin kencang disertai dengan ketibaan atmospheric rivers – gumpalan wap kelembapan Pasifik – ke negeri yang dilanda kemarau.

Hujan turun mencecah rekod manakala salji lebat membadai kawasan Sierra Nevada. Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan menasihati negeri itu dengan amaran banjir kilat.

Banjir juga dilaporkan di seluruh Kawasan Teluk San Francisco, menutup jalan-jalan di Berkeley, membanjiri plaza tol Bay Bridge Oakland dan sungai melimpah di daerah Napa dan Sonoma.

Tiang elektrik juga tumbang dan puluhan ribu penduduk di North Bay tanpa bekalan elektrik.

Perkhidmatan Kaji Cuaca menggelar jumlah hujan turun ‘memeranjatkan’ termasuk 11 inci di pangkalan Gunung Tamalpais, Marin, dan 4.02 inci di perbandaran San Francisco. – AP

Anggota bomba Santa Rosa memeriksa penduduk yang terperangkap akibat banjir di Neotomas Avenue di Santa Rosa, California pada 24 Oktober. – AP