Selesa bawa lagu mendayu

Mula popular dengan Takdir Cinta disusuli Teguh Setia, bakat baharu, Muna Shahirah mengaku lebih selesa menyanyikan lagu balada.

Muna yang dicungkil bakat daripada program realiti, Akademi Fantasia (AF) 2014, memberitahu, biarpun lagu balada atau mendayu sukar dibawa, genre itu lebih dekat dengan dirinya.

“Lagu balada sukar dibawa jika hendak dibandingkan dengan dendangan rancak. Kalau vokal biasa sekalipun, masih boleh bawa lagu rancak kerana mudah dipelbagaikan. Saya fikir lagu balada lebih sesuai dengan vokal. Kalau bawa lagu rancak, macam tak kena. Kalau diberi peluang atau mencuba, saya suka lagu rancak yang lebih condong kepada dangdut,” katanya kepada media.

Muna yang juga calon awal Kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-32, bertuah apabila ditawarkan merakamkan lagu Takdir Cinta dan Teguh Setia ciptaan komposer terkenal, Ibnu serta Gouffran.

Muna atau nama penuhnya, Muna Shahirah Munadi berkata, ketika ini, dia menyanyi sepenuh masa. “Saya memiliki ijazah sarjana muda sains (matematik) dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2015. Saya minat dalam bidang itu, cuma, saya fikir, tak salah mencuba nasib dalam bidang nyanyian. Buat masa ini, saya suka lakukan satu kerja sahaja. Saya tak boleh buat banyak kerja serentak,” katanya yang berasal dari Mersing, Johor.

Pernah menjadi penyanyi Yayasan Warisan Johor ketika berusia 12 tahun, Muna pernah putus asa dan hampir meninggalkan dunia nyanyian, dua tahun lalu.

Dia pernah terfikir mahu mengikut adik bekerja dalam bidang perhotelan di Singapura.

“Ketika itu, saya tak kisah melakukan apa sahaja kerja asalkan dapat membantu ibu bapa. Siapa sangka, suatu hari, pengurus dan wakil syarikat rakaman, FMC Music hubungi saya,” katanya. – Agensi

Muna yang dicungkil bakat daripada program realiti, Akademi Fantasia (AF) 2014, memberitahu, biarpun lagu balada atau mendayu sukar dibawa, genre itu lebih dekat dengan dirinya. – Agensi