MAKKAH, 27 Ogos – Sebutir buah tamar yang menghalang pintu tren untuk tertutup rapat boleh menjejaskan keseluruhan operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL), sekali gus mengganggu pergerakan jemaah yang menggunakan perkhidmatan itu.
Itulah antara gambaran insiden atau krisis yang mungkin boleh berlaku dan Syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), selaku pengendali tren itu perlu bertindak pantas untuk menyelesaikan sebarang krisis bagi mengelakkan ia menjadi lebih rumit.
Pengurus Pusat Kawalan Operasi (OCC) MMMSL, Mohd Affendi Ridzuan berkata sekiranya insiden seumpama itu berlaku, kakitangan syarikat pengendali hanya diberikan tempoh tiga minit bagi mengesan punca dan menyelesaikan masalah berkenaan.
“OCC berperanan penting dalam pengoperasian tren metro secara yang bergerak secara automatik seperti MMMSL dan ia juga adalah nadi penting yang mengawal dan mengawasi pergerakan tren, pemantauan di dalam tren dan di stesen.
“Jika sesuatu insiden berlaku, contohnya buah tamar yang menghalang pintu tren untuk tertutup rapat, kakitangan kita di lapangan diberikan tiga minit untuk menyelesaikannya, jika tidak masalah sekecil itu akan merebak dan menjejaskan keseluruhan perkhidmatan tren,” katanya kepada media Malaysia yang berkunjung ke pusat kawalan itu di sini pada Sabtu.
Mohd Affendi berkata tempoh tiga minit itu yang turut dijadikan piawaian bagi pengoperasian perkhidmatan tren-tren di Malaysia, adalah tempoh sangat penting untuk kakitangan syarikat tersebut bertindak sebaik mungkin dan tiada ruang untuk mereka melakukan kesilapan. – Bernama