Selesema burung dikesan dalam angsa mati

PRAGUE, 22 JAN – Pihak berkuasa Republik Czech berkata mereka menemui virus selesema burung H5N8 yang sangat mudah berjangkit dalam dua ekor angsa mati di selatan negara itu.

Virus berkenaan membawa maut kepada burung tetapi belum ada kes jangkitan ditemui dalam manusia. Ia merupakan kes pertama menjangkiti burung liar di Republik Chech sejak 2017, walaupun virus berkenaan dikesan di ladang ternak kecil tahun lalu yang mengakibatkan 137,000 ayam dibunuh.

“Kami menasihatkan penternak kecil mengurung haiwan mereka bagi mengelakkan bercampur dengan burung liar,” kata Pengarah Veterinar Kebangsaan, Zbynek Semerad dalam kenyataan semalam. Virus itu kini merebak di beberapa negara Eropah, termasuk Perancis dengan ribuan ayam dibunuh bagi mengelakkan wabak. – AFP