Selfie hampir merakam maut

BANGKOK, 2 Jan – Seorang pelancong wanita warga Perancis telah digigit seekor buaya di sebuah taman negara Thailand ketika cuba mendekati haiwan yang menakutkan itu untuk mengambil selfie, kata seorang pegawai semalam.

Kejadian itu berlaku pada petang Ahad di Khao Yai, sebuah taman Negara popular yang dipenuhi laluan mendaki hutan tebal dan air terjun dan memerlukan perjalanan tiga jam ke utara Bangkok.

“Dia mahu mengambil selfie dengan buaya yang berbaring berhampiran sungai. Buaya itu terkejut dan menggigit lututnya,” kata seorang pegawai taman kepada AFP yang enggan dikenali kerana tidak mempunyai kuasa untuk bercakap kepada media.

Pegawai itu berkata, dua ekor buaya telah membuat sarang di taman itu selama bertahun-tahun dengan tanda-tanda amaran telah diletakkan di sana. “Saya rasa pelancong itu mahu melihat keadaan sebenar,” katanya.

Gambar serahan pihak berkuasa Taman Negara Khao Yai kelmarin menunjukkan pelancong warga Perancis dibawa dengan pengusung setelah cedera digigit seekor buaya. – AFP
Gambar serahan pihak berkuasa Taman Negara Khao Yai kelmarin menunjukkan pelancong warga Perancis dibawa dengan pengusung setelah cedera digigit seekor buaya. – AFP

Media tempatan memuat naik gambar renjer taman berpakaian celoreng membawa mangsa berusia 47 tahun itu dengan pengusung.

Satu lagi gambar memaparkan renjer menunjukkan tompokan darah berhampiran papan tanda amaran dalam Bahasa Thailand dan Bahasa Inggeris. Mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan dijangka pulih.

Buaya Siam terdapat di mana-mana kawasan Asia Tenggara tetapi populasi mereka menurun dalam abad yang lalu akibat aktiviti pemburuan dan kehilangan habitat. Haiwan itu kini disenaraikan sebagai spesies terancam dalam senarai merah IUCN. – AFP