Tuesday, December 10, 2024
34.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selidik unsur ‘hubungan’ pemain-bookie

    KUCHING, 21 Feb – Pengurusan bola sepak negeri Sarawak tetap diminta melihat sekiranya ada pemain yang didapati berurusan atau mempunyai unsur ‘hubungan’ dengan ‘bookie’, disingkirkan daripada pasukan negeri.

    Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata memang tidak dinafikan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan dan suatu pendakwaan memerlukan antaranya bukti yang benar-benar kukuh.

    Beliau berkata pihaknya akan menyelidik kes pendakwaan serta kertas siasatan untuk melihat sekiranya terdapat unsur-unsur ada ‘hubungan’ antara pemain dengan bookie yang dikesan, tetapi tidak dapat dibuktikan dengan jelas, yang tidak dapat dibawa ke mahkamah.

    “Jika ada, rasanya lebih baik pemain-pemain ini, kita rasa lebih bagus mereka tidak bersama kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Kongres Seni Sarawak yang disempurnakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel di sini hari ini.

    Pagi tadi, Mahkamah Majistret Kuching membebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua pemain Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan seorang lelaki yang dipercayai ‘bookie’, yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur perlawanan Liga Premier.

    Mereka direman sejak 15 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 kerana dipercayai terlibat dengan perbuatan mengatur perlawanan antara Sarawak menentang Felcra FC pada 10 Februari lepas, yang menyaksikan Sarawak tumpas 2-3, walaupun pada separuh masa pertama ia sudah mendahului dengan jaringan 2-0.

    Karim seterusnya menasihatkan supaya pasukan bola sepak negeri serta pihak pengurusannya terus tenang, tabah, bersabar, dan tidak terganggu akal fikiran dalam mengharungi perlawanan seterusnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda