THESSALONIKI, Greece – Ia adalah musim sejuk yang sengsara di Greece, terutamanya bagi beribu-ribu pelarian yang tinggal di khemah-khemah, di kilang-kilang lama dan gudang. Di sebuah bengkel kecil di utara bandar Thessaloniki, para sukarelawan cuba untuk membuat sedikit perbezaan.
Sukarelawan bekerja selama berjam-jam demi membantu menghangatkan pelarian, dengan bunyi bising daripada mesin jahit mendedahkan misi mereka: Menjadikan selimut yang dibuang bertukar kepada jaket, sut dan lain-lain pakaian musim sejuk.
Bekalan hampir tidak berkesudahan: Selimut – berwarna kelabu dengan jahitan merah – yang mana datangnya dari pelbagai pelusuk pelarian dan perkhemahan pendatang di Idomeni di sempadan Macedonia yang kini sudah ditutup.
Seramai 14,000 orang tinggal di khemah-khemah di kawasan tersebut tahun lalu selepas negara-negara Eropah menutup sempadannya kepada pelarian. Anggota polis Greek mengosongkan perkemahan tersebut pada bulan Mei lalu, meninggalkan beratus-ratus khemah dan beribu-ribu selimut dibiarkan begitu sahaja. Tabung amal Greek-Jerman dipanggil Naomi telah mengumpulkan barangan tersebut dengan menggunakan pengangkut van dan kemudian dibasuh dan digunakan semula.
Penganjur projek iaitu Elke Wollschlaeger turut membantu dalam pembuatan kot tersebut dan juga meberikan label ‘Ingat Idomeni’ dalam jahitan dalamannya.
“Kami cuba untuk mengingatkan kepada orang ramai dengan apa yang berlaku di Idomeni pada tahun lalu, dan apa yang Eropah lakukan kepada pelarian dan orang-orang Yunani, dengan meninggalkan sempadan itu yang sudah ditutup dan beribu-ribu orang terkandas,” katanya.
Kerajaan Greece berkata lebih daripada 60,000 pelarian dan pendatang masih terperangkap di daerah ini berikutan penutupan sempadan. Mereka bergelut untuk mendapatkan perlindungan di kem-kem perlindungan pada musim sejuk yang membeku. Pihak berkuasa di pulau Lesbos sedang menyiasat tiga kematian baru-baru ini di sebuah kem pelarian di sana, yang mana berkemungkinan disebabkan oleh asap daripada alat pemanas sementara.
Buat pelarian Syria, Hasan Al Kodsy, membantu dalam pembuatan kot tersebut di bengkel kot di Thessaloniki adalah wajar. Beliau berusia 30 tahun pernah menjalankan perusahaan tekstil keluarga mereka di Damsyik yang mempunyai kira-kira 100 pekerja. Perjalanannya ke Eropah terhenti di Idomeni tetapi dia masih berharap untuk menyertai isteri dan anak perempuan beliay yang berusia dua tahun di Munich, Jerman, melalui skim penempatan semula Kesatuan Eropah.
“Saya melihat wanita (di Idomeni) menggigil dalam selimut dan ia adalah bukanlah suatu perkara yang baik untuk dilihat,” katanya. “Oleh itu, kita mula membuat pakaian dengan selimut.”
Tabung amal ini tidak mengedarkan jaket ini secara langsung tetapi ianya telah diberikan kepada kumpulan bantuan lain sebagai balasan derma mereka, dengan menggunakan wang yang diperolehi itu digunakan untuk program latihan kemahiran buat pelarian dan projek-projek yang dapat membawa mereka keluar dari kem tersebut dan menempatkan mereka di pangsapuri. Ia juga menjual baju-baju kot tersebut bagi yang mengunjungi bengkel mereka, seperti penduduk Katerina Tsolakidou.
“Kami benar-benar suka dengan idea menggunakan semula selimut dari Idomeni,” katanya selepas mengambil kot beliau. “Ia memberi pelarian sesuatu yang amat berharga. Jadi, daripada membelanjakan wang di tempat lain, sebaiknya saya membelanjakannya di sini.” – AP