MELBOURNE, 10 JAN – Polis Australia mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua orang lelaki yang cuba membakar sebuah restoran makanan segera di Melbourne, Australia, secara tidak sengaja membakar seluarnya sendiri sebelum berlari lintang-pukang tanpa pakaian lengkap.
Rakaman kejadian menunjukkan dua individu memakai hoodie dan berseluar gelap membawa bekas berisi ‘cecair mudah terbakar’ di hadapan restoran tersebut pada awal pagi Hari Krismas.
Salah seorang daripada mereka cuba menyalakan cecair itu di luar kawasan pandangan kamera.
Namun, percubaan tersebut gagal apabila lelaki itu secara tiba-tiba diselubungi api, menyebabkan dia terpaksa menanggalkan seluar yang terbakar dan melarikan diri dalam keadaan separuh bogel bersama seorang lagi rakannya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis negeri Victoria, yang mengedarkan rakaman itu hari ini, meminta saksi untuk tampil memberikan maklumat berhubung insiden tersebut. – AFP