Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Seludup 1,700 haiwan, warga AS mengaku bersalah

    LOS ANGELES, 25 OGOS – Seorang lelaki dari California yang menyeludup lebih 1,700 haiwan liar ke Amerika Syarikat (AS), termasuk 60 reptilia yang disorok dalam pakaiannya, mengaku bersalah kelmarin atas tuduhan yang dihadapkan oleh mahkamah persekutuan.

    Jose Manuel Perez, 30, dari Oxnard, membuat pengakuan terhadap dua pertuduhan penyeludupan dan pertuduhan memperdagangkan hidupan liar.

    Menurut penghujahan pendakwa raya, dari 2016 hingga Februari lalu, Perez dan rakan subahatnya menggunakan media sosial untuk mengatur penyeludupan haiwan dari Mexico dan Hong Kong.

    Kebanyakannya adalah reptilia dan termasuk kura-kura kotak Yucatan, kura-kura kotak Mexico, anak buaya dan biawak Mexico, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman AS.

    Mengimport haiwan tanpa permit merupakan satu kesalahan undang-undang di bawah perjanjian antarabangsa mengenai perdagangan spesies terancam, kata jabatan tersebut.

    Perez telah mengupah rakan subahat untuk merentas sempadan dengan membawa haiwan dari Mexico ke El Paso, Texas, di mana dia menyuruh mereka dihantar ke rumah Ventura County keluarganya dan menjualnya semula kepada pelanggan di seluruh AS, kata pihak berkuasa.

    Dia juga membuat kira-kira 36 kali perjalanan ke Mexico untuk mengambil haiwan, dan pada 25 Februari dia ditangkap ketika cuba memasuki AS dengan 60 reptilia disembunyikan dalam beg pakaiannya, kata pendakwa raya.

    Tiga daripada reptilia itu mati. Reptilia yang diseludup itu bernilai kira-kira $739,000, pihak berkuasa menganggarkan. – AP

    Pejabat Peguam AS menunjukkan antara haiwan yang diseludup dari Mexico dan Hong Kong ke AS, 24 Ogos lalu. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...