Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 27 Jun – Sebagai usaha untuk menyokong kemapanan kehijauan, bukan sahaja persekitaran sekeliling tetapi juga demi generasi masa depan, sekumpulan pelajar dari Kampus Teraja, Sekolah Panaga, secara inisiatif telah mengadakan projek membuat beg guna semula daripada baju-T
Melalui projek tersebut, lebih 40 beg guna semula telah dihasilkan dengan melibatkan penyertaan sembilan orang pelajar sekolah tersebut.
Projek berkenaan antara lain bertujuan untuk meningkatkan sikap mngurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula dalam kehidupan seharian.
Dengan inisiatif dan kreativiti pelajar-pelajar berkenaan, mereka mengeluarkan baju-baju T daripada almari masing-masing, kemudian memotongnya dan membentuknya dengan turut dibantu oleh ibu bapa mereka dan memastikan hasil kerja tangan mereka itu dapat dimanfaatkan dari semasa ke semasa.
Berbagai-bagai tema dan reka bentuk juga telah diberikan bagi setiap beg buatan mereka dengan menggunakan fabric marker untuk menambah nilai kecantikan bagi menggalakkan penggunaan beg guna semula itu sebagai langkah pertama ke arah memelihara kehijauan alam sekitar.


Salah seorang guru projek tersebut, Tania Mehlhopt memberitahu bahawa kerja-kerja membuat beg itu telah bermula sejak awal Mei lalu dan ia merupakan kesinambungan Hari Bebas Plastik yang disambut pada Februari lalu.
Menurutnya, sebahagian beg yang dihasilkan itu juga telah dijual untuk mengumpul dana membeli bingkai lukisan pelajar untuk disumbangkan ke Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait pada awal bulan lepas.
Sehubungan itu, majlis menyerahkan beg-beg guna semula itu kepada Kedai NAAFI Garison, Seria telah diadakan kelmarin, dengan rombongan pelajar telah diketuai oleh Tania Mehlhopt.
Projek seperti itu dihasratkan akan diteruskan lagi demi meningkat sokongan dalam kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.

































