Semai kesedaran agar sentiasa bersyukur

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 20 Jan – Bagi menyemai kesedaran kepada warga sekolah supaya sentiasa bersyukur, positif dan berkeyakinan tinggi, Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong kelmarin mengadakan salah satu program akademiknya, Illal Majdi Wan Najaah (IMAN), I-Motivasi (Yes, I can Do It!!) di Dewan Serbaguna, PTE Tutong.

Lebih daripada 200 Pelajar Enam Atas Tahun 13 dan pensyarah-pensyarah serta kakitangan PTE Tutong menghadiri program motivasi itu.

Hadir bagi menyampaikan motivasi ialah Pegawai Pendidikan dari Sekolah Rendah Dato Basir, Lambak Kanan, Awang Muhammad Bahri bin Bohari.

Awang Muhammad Bahri merupakan salah seorang guru yang peramah dan dilahirkan tanpa anggota badan yang sempurna.

Walaupun beliau dilahirkan sebagai seorang yang istimewa, beliau menunjukkan kejayaan pada dirinya yang mana beliau berjaya menamatkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi iaitu memperolehi Sarjana dalam bidang Pendidikan Antarabangsa di University of Leicester, United Kingdom dengan sokongan penuh biasiswa kerajaan.

Awang Muhammad Bahri semasa menyampaikan kata-kata motivasi kepada warga PTE Tutong.
Awang Muhammad Bahri semasa menyampaikan kata-kata motivasi kepada warga PTE Tutong.

Beliau juga berkongsi pengalamannya ketika bersekolah dan seterusnya mengongsikan kejayaan yang dicapainya.

Antara objektif program i-Motivasi ini adalah untuk mencungkil potensi diri pelajar melalui aktiviti-aktiviti interaktif dan memupuk sifat kendiri serta memotivasikan warga PTE Tutong untuk kecemerlangan diri, pengajaran dan pembelajaran serta memahirkan diri dalam pelbagai bidang demi kemajuan bangsa, agama dan negara.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada penyampai motivasi yang disempurnakan oleh Penolong Pengetua (Pentadbiran) PTE Tutong, Awang Almasri bin Haji Sulaiman.