Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semai kesedaran pendengaran

    Oleh Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Rahwani Zahari

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Feb – Kementerian Kesihatan akan menyambut Hari Pendengaran Sedunia 2018 pada 4 Mac depan semasa program Bandarku Ceria di kawasan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

    Acara itu nanti dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mohd Isham bin Jaafar.

    Sambutan tahun ini membawa tema ‘Hear The Future, Prepare For It’ yang mempunyai pengertian besar kerana ia memfokuskan kepada strategi atau langkah pencegahan serta langkah untuk memberikan laluan kepada mereka yang mempunyai masalah kurang pendengaran sekali gus memberikan kemudahan untuk rehabilitasi dan bahan-bahan yang diperlukan oleh mereka.

    Ini merupakan tahun ketiga Negara Brunei Darussalam meraikan Sambutan Hari Pendengaran Sedunia bersama negara-negara lain di seluruh dunia.

    Semasa sidang media di Bilik Persidangan, Bangunan Pakar Telinga, Hidung dan Leher (ENT), hari ini, Pegawai Perubatan Kanan, Dayangku Dr. Hajah Norsuhazenah binti Pengiran Suhaili telah memberikan penerangan mengenai masalah kurang pendengaran.

    Dayangku Dr. Hajah Norsuhazenah semasa memberikan penerangan mengenai masalah kurang pendengaran.

    “Maksud masalah kurang pendengaran ialah individu yang mempunyai masalah kurang pendengaran ini, mereka yang tiada keupayaan untuk mendengar secara normal, mereka boleh mendengar secara separa normal, ataupun secara total tidak boleh mendengar langsung. Yang paling kita perlu ketahui, ia bukan sahaja menjadi isu atau masalah yang melibatkan golongan warga emas malahan ia boleh dialami oleh diri sendiri iaitu di kalangan dewasa, golongan kanak-kanak dan juga anak damit yang baru lahir”.

    Beliau berkata, deria pendengaran diperlukan 24 jam sehari, itu tidak disangkalkan, tanpanya ia akan memberikan impak besar kepada komunikasi dan interaksi sosial pada golongan orang dewasa.

    Manakala itu, bagi kalangan kanak-kanak apatah lagi anak damit yang mengalami masalah kurang pendengaran, ia akan memberikan impak terutama kepada perkembangan, pertuturan dan juga perkembangan bahasa anak-anak berkenaan.

    “Bila kita imbas mengenai punca-punca masalah kurang pendengaran ini, sebenarnya banyak dan apa yang diketahui ia diakibatkan oleh keturunan, masalah lain dan juga ia boleh terjadi oleh akibat jangkitan dan banyak lagi. Perkara ini boleh dicegah dengan langkah-langkah tertentu,” ujar beliau.

    Beliau turut mengongsikan data-data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang mana lebih 300 juta orang penduduk dunia mengalami masalah kurang pendengaran dan antara 32 juta antara jumlah tersebut adalah daripada golongan kanak-kanak.

    Oleh itu, WHO menyarankan untuk mengadakan Hari Pendengaran Sedunia dengan tujuan utamanya untuk mempertingkatkan kesedaran orang awam bukan sahaja peringkat negara bahkan seluruh dunia.

    Dengan cara ini, ia akan dapat memberikan satu langkah pencegahan terhadap masalah kurang pendengaran yang efektif dan mula mengenali punca-punca utama masalah pendengaran sekali gus mengetahui langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegahnya.

    Menurut Dayangku Dr. Hajah Norsuhazenah, semua itu merupakan asas kepada Hari Pendengaran Sedunia dan juga objektif utama sambutan berkenaan seterusnya juga merupakan salah satu platform untuk dikongsi bersama mengenai penjagaan pendengaran yang baik secara global.

    Acara tahun ini berbeza jika dibandingkan tahun-tahun sebelumnya kerana pihak jawatankuasa telah menjemput beberapa badan kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat sama dalam penjagaan telinga dan juga pendengaran di seluruh negara untuk menggunakan platform acara berkenaan bagi berkongsi mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai.

    Antara yang terlibat dalam acara berkenaan adalah Kementerian Kesihatan sendiri menerusi Maternal Child Health Services, Perkhidmatan Kesihatan Sekolah di bawah Kementerian Kesihatan dan banyak lagi.

    Oleh itu, orang ramai dialu-alukan untuk hadir dan mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan secara percuma sempena Sambutan Hari Pendengaran Sedunia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda