Semai keunikan budaya kepada pelajar

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Seramai 511 orang kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TASKA YSHHB) bagi sesi pagi dan petang hari ini menghadiri ‘Hari Tradisi Budaya Brunei TASKA’ secara berkumpulan dalam jumlah kecil yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan.

Ia memperlihatkan keunikan budaya masyarakat Melayu Brunei daripada sudut warisan, adat resam, tarian, nyanyian, permainan tradisi puak-puak etnik di negara ini melalu pameran dan demonstrasi.

Hari Tradisi Budaya Brunei TASKA itu dihasratkan dapat menyalurkan maklumat dan pengetahuan mengenai kebudayaan dan kesenian masyarakat Brunei melalui gagasan edutainment iaitu pembelajaran ke arah membudayakan murid-murid.

Semasa acara itu berlangsung, murid-murid berpeluang menyertai aktiviti seperti permainan tradisi congkak, main gatah, simban, pelepah pinang dan kikik.

Mereka juga berpeluang menyaksikan demonstrasi nyanyian lagu tradisi kanak-kanak, tarian asli, alat muzik dan pembuatan makanan tradisi Brunei.

Acara turut dihadiri Pengetua TASKA, Datin Hajah Zainab binti Haji Abdul Wahab, para guru dan murid-murid. Hari Tradisi Budaya Brunei TASKA itu diharap dapat memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang kesenian, kesedaran dan semangat mencintai budaya sendiri dari peringkat kanak-kanak lagi.

Pelajar-pelajar TASKA YSHHB berkesempatan mencuba alat muzik tradisional Brunei.
Makanan tradisi turut ditunjukkan kepada pelajar agar mengetahui mengenai kebudayaan masyarakat Brunei.