Semai rasa cintakan negara

Gambar serahan Jabatan Penerangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, baru-baru ini, telah meneruskan lagi Program Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di Sekolah Menengah Katok (SMK).

Seramai 89 orang pelajar Tahun 7 menghadiri program taklimat berkenaan yang turut dihadiri oleh Pengetua SMK, Dayang Penroose Saleha binti Haji Mohd Salleh dan Timbalan Pengetua Pentadbiran, Hajah Siti binti Pungut serta tenaga pengajar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara di samping mengu-kuhkan semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut melalui cintakan raja, bendera negara dan lagu kebangsaan.

Semasa program itu, taklimat telah disampaikan oleh Pemangku Pegawai Penerangan selaku Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris.

Beliau antara lain menyentuh mengenai raja, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dengan terperinci.

Di samping itu, program turut menyaksikan klip video ‘Kibarkanlah dengan Megah Bendera Negara’ dan ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ serta video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera Negara’.

Para penuntut juga berpeluang menyertai kuiz kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan. Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang
berjaya menjawab kuiz.

Antara pelajar yang menghadiri Taklimat Kenegaraan di SMK.